15 maut serangan pengebom nekad di masjid

ANGGOTA keselamatan mengawal lokasi serangan di sebuah masjid di Quetta. – Foto AFP

QUETTA (PAKISTAN): Sekurang-kurangnya 15 orang maut, manakala 19 lagi cedera apabila sebuah masjid di barat daya Pakistan menjadi sasaran pengebom nekad, kata sumber kerajaan.

Insiden berkenaan berlaku di bandar utama Quetta dan serpihan bangunan serta kaca dapat dilihat berselerakan di tempat kejadian.

Seorang saksi, Fida Mohammad, berkata kira-kira 60 jemaah dipercayai berada di masjid berkenaan yang terletak di kawasan padat penduduk.

“Letupan itu berlaku di baris hadapan saf, beberapa saat selepas solat bermula.

“Ia satu letupan yang amat kuat. Jemaah kedengaran berlari dan saling menjerit, menyebabkan ramai tercedera kerana terpijak,” katanya.

ANGGOTA pengawal menyiasat lokasi serangan di sebuah masjid di Quetta. – Foto AFP

Seorang doktor di hospital Sandeman, Quetta, Mohammad Waseem mengesahkan bahawa kejadian terbabit meragut 15 nyawa.

Ketua Polis wilayah Balochistan, Mohsin Hassan Butt turut mengesahkan jumlah kematian dan berkata, 19 mangsa masih menerima rawatan dan tiga hingga empat orang berada dalam keadaan kritikal.

“Seorang pegawai polis antara yang maut,” katanya.

Menteri Dalam Negeri wilayah, Zia Ullah Langu memberitahu media, siasatan oleh pasukan pemusnah bom mendapati ia dilakukan oleh pengebom nekad.

Jurucakap kerajaan tempatan, Liaqat Shahwani turut mengesahkan penemuan siasatan.

Menurut kumpulan perisik SITE, militan Islam Daesh mengaku melakukan serangan itu. – AFP

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture