Pasangan Pakistan bunuh ‘pembantu rumah’ berusia 7 tahun ditahan

 

 

RAWALPINDI: Pasangan suami isteri di Pakistan ditahan kerana didakwa membunuh pembantu rumah berusia tujuh tahun selepas kanak-kanak itu dituduh membiarkan burung peliharaan terlepas.

Pegawai penyiasat, Mukhtar Ahmad, memberitahu AFP bahawa kes terbabit adalah antara yang terbaru membabitkan penindasan pembantu rumah kanak-kanak di Pakistan.

“Suspek, Hassan Siddiqui dan isterinya menggaji Zohra Bibi, 7, sebagai pembantu rumah di kediaman mereka di Rawalpindi berhampiran ibu kota Islamabad bagi menjaga anak lelaki mereka yang seusia dengan mangsa.

“Mangsa didera oleh Siddiqui dan isterinya kerana dituduh melepaskan seekor daripada empat burung kakak tua spesies Macaw peliharaan mereka,” katanya.

Menurut pegawai penyiasat, Siddiqui bertindak menendang perut mangsa berulang kali sehingga menyebabkan kematian.

Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), sekitar 8.5 juta penduduk Pakistan, kebanyakannya kanak-kanak, diupah sebagai pembantu rumah walaupun menyalahi undang-undang untuk menggaji individu berusia bawah 15 tahun.

Zohra kemudian dibawa ke hospital oleh pasangan suami isteri itu Ahad lalu tetapi meninggal dunia sehari selepas itu dan kakitangan hospital melaporkannya kepada polis.

Mayat kanak-kanak itu diserahkan kepada ibu bapanya yang tinggal di Muzaffargarh, berdekatan bandar Multan, yang terletak lebih 500 kilometer (km) dari tempat kerja mangsa.

Menteri Hak Asasi Manusia, Shireen Mazari mengesahkan penahanan suami isteri dalam tragedi itu sambil menegaskan pihaknya sentiasa berhubung dengan pihak polis. – AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture