Gajah dijadikan hamba abdi industri pelancongan

Gajah dipaksa melakukan dan membawa pelancong dengan belalai mereka

SURIN, Thailand – Satu rakaman video telah mendedahkan beberapa ekor gajah didera dan dipaksa mengangkat pengunjung menggunakan belalainya sambil diperhatikan pelatih dikenali sebagai mahout yang memegang kayu buluh bercangkuk besi, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Rakaman itu diambil ketika pertunjukan harian dekat sini awal bulan ini di timur laut Thailand, menunjukkan mahout mengawal dan memberi arahan kepada gajah-gajah berkenaan menggunakan cangkuk tajam tersebut.

Semasa membuat persembahan, gajah tersebut dilihat memusingkan gelung rotan menggunakan belalainya dan berdiri di atas kerusi sebelum dipaksa membaling sebiji bola ke dalam jaring.

Ada juga gajah diarahkan jalan mengundur manakala satu rutin lain menyaksikan beberapa sukarelawan berbaring dan membiarkan gajah berkenaan melangkah di atas mereka, hanya beberapa inci daripada dipijak kaki haiwan gergasi tersebut.

Naib Presiden Kempen Antarabangsa Pertubuhan Layanan Beretika untuk Haiwan (PETA), Jason Baker menegaskan gajah-gajah dalam rakaman itu hanya membuat persembahan kerana diugut dengan keganasan malah menyeru pelancong tidak melibatkan diri.

“Gajah-gajah ini bukannya membuat persembahan kerana ia menyeronokkan tetapi kerana takut didera sekiranya tidak patuh dengan arahan. Kalaulah orang ramai sedar setiap tiket dibeli hanya mempromosikan penganiayaan dan penculikan gajah,” katanya.

Seorang pengunjung ke pertunjukan Dunia Gajah itu memaklumkan pertunjukan diadakan setiap hari antara pukul 10 pagi hingga 2 petang dengan setiap seekor gajah perlu membuat beberapa persembahan. – Agensi

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture