Penembak tepat selamatkan tebusan di stesen kereta api

Bersiap sedia untuk masa yang tepat

NANNING, China – Kecekapan seorang penembak tepat Pasukan Taktik dan Senjata Khas (SWAT) menembak mati seorang suspek bersenjatakan pisau telah menyelamatkan nyawa seorang tebusan di sini pada 9 Ogos lalu.

Ketua SWAT bandar Nanning, Zeng Hao, 42, meniarap selama dua jam bersama selaras rifel 7.62mm di celah kangkang seorang rakan sekerja yang menyembunyikan kedudukannya, namun terpaksa melepaskan tembakan dari jarak lebih 60 meter apabila suspek mahu menikam tebusannya.

“Saya sudah berkhidmat sebagai polis selama 19 tahun dan menyertai banyak operasi menyelamatkan tebusan, tetapi inilah kali pertama saya terpaksa menembak seorang suspek,” kata Zeng Hao.

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan suspek itu, yang hanya dikenali dengan nama keluarga Huang, 18, secara rambang mengambil wanita tersebut sebagai tebusan sekitar pukul 4.56 petang (waktu tempatan) sebelum mengheretnya ke satu sudut di stesen kereta api bawah tanah Jalan Xinmin.

Polis Nanning masih belum mendedahkan motif penyerang tersebut mengambil tebusan tetapi suspek didakwa pernah menerima bantuan kaunseling psikologi.

Akhbar Nanning Evening News melaporkan suspek mempunyai kecenderungan mencederakan diri sendiri malah menuntut polis memberi sepucuk pistol untuk membunuh diri atau dia akan membunuh tebusannya.

Zeng Hao dan empat rakan setugasnya menerima anugerah khas Jumaat lalu di atas keberanian dan kecekapan mereka menguruskan operasi melibatkan tebusan tersebut. Wanita itu berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan. – Agensi

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture