‘Penembak di hospital Afghanistan mahu bunuh golongan ibu’

 

 

KABUL: Penembak yang menyerbu masuk ke sebuah hospital di ibu negara Afghanistan minggu ini, mahu membunuh golongan ibu di wad bersalin, kata badan perubatan kemanusiaan, Doktor Tanpa Sempadan (MSF).

Sekurang-kurangnya 24 mangsa terbunuh, termasuk bayi baru lahir, ibu dan jururawat, apabila tiga penembak melepaskan tembakan di dalam wad bersalin di hospital di Kabul, Selasa lalu, dalam serangan yang mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Amerika Syarikat (AS) kemudian mendakwa serangan itu didalangi militan DAESH.

“Apa yang saya lihat dalam wad bersalin hospital itu seperti tembakan terhadap golongan ibu secara sistematik,” kata Ketua Doktor Tanpa Sempadan di Afghanistan, Frederic Bonnot semalam, yang melawat fasiliti itu sehari selepas serangan terbabit.

“Mereka memasuki beberapa bilik dalam wad bersalin, menembak wanita di katil mereka. Ia sangat teratur.

“Dinding dipenuhi kesan peluru, darah memenuhi lantai di dalam bilik, kenderaan terbakar dan dinding juga ditembak,” katanya dalam satu kenyataan.

MSF yang mengendalikan wad bersalin itu, berkata ketika serangan berlaku, seramai 26 ibu sedang dirawat di Hospital Kebangsaan Barchi di barat Kabul.

Penembak yang masuk ke fasiliti itu menerusi pintu utama, terus meluru ke arah wad bersalin, kata MSF.

Ketika serangan bermula, bunyi tembakan dan letupan jelas kedengaran daripada bilik keselamatan, dengan beberapa individu sedang berlindung di situ, kata Bonnot.

“Mereka datang untuk membunuh ibu-ibu di situ. Negara ini memang sudah biasa berdepan insiden dahsyat, namun saya tak mampu ungkapkan apa yang berlaku Selasa lalu,” katanya.

DAESH belum membuat kenyataan berhubung serangan itu, namun Wakil Khas AS ke Afghanistan, Zalmay Khalilzad, mendakwa ia didalangi militan itu yang berpusat di Khorasan.

Taliban menafikan sebarang pembabitan dalam pembunuhan itu. – AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture