Bacaan doa himpun pelbagai agama, Hari ini Khamis 14 Mei 2020

 

 

MANAMA: Pusat Global Kehidupan Bersama Secara Aman Raja Hamad akan mengadakan acara bacaan doa yang menghimpunkan pelbagai agama secara dalam talian hari ini.

Agensi berita BNA melaporkan, program itu bertujuan menyatukan rumah ibadat termasuk masjid, gereja dan kuil bagi berdoa secara bersama mengikut agama masing-masing.

Setiausaha Agungnya, Soumaya Hussein Almeer, mengumumkan penganjuran acara itu berikutan seruan Jawatankuasa Tertinggi Persaudaraan Manusia pusat berkenaan di Bahrain.

“Jawatankuasa ini mengesyorkan pelaksanaan amalan puasa dan berdoa secara bersungguh-sungguh atas nama kemanusiaan pada hari ini 14 Mei 2020.

“Acara terbabit adalah satu penghormatan kepada Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Salman al-Khalifa, yang menyokong inisiatif ini dan mengumumkan penyertaan Bahrain dalam program berkenaan.

“Pemimpin agama tersohor dari Amerika Syarikat (AS), Perancis, Itali, Britain, Jerman, Sepanyol, Thailand, Filipina, Korea Selatan, Indonesia, India, Lebanon, Russia dan Brazil akan mengambil bahagian dalam acara doa secara maya ini melalui aplikasi ZOOM,” katanya.

Menurutnya lagi, penyertaan Bahrain dalam himpunan doa antara pelbagai agama itu bagi memberikan solidariti kepada seluruh umat manusia supaya masing-masing dapat mencapai kedamaian, hidup harmoni dan kembali pulih daripada penyakit bersifat semula jadi atau berpunca daripada manusia. – BERNAMA

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture