China tawar tunai sebagai insentif hentikan dagangan hidupan liar

 

 

Pengawal keselamatan berdiri di luar Pasar Borong Makanan Laut Huanan di mana COVID-19 dikesan di Wuhan pada 24 Januari. – Foto fail AFP

BEIJING: Penternak di China ditawarkan ganjaran wang tunai jika menghentikan pembiakan haiwan eksotik, menyusuli gesaan melarang penjualan hidupan liar secara haram yang dikatakan punca penularan virus.

Aktivis hidupan liar berkata pihak berkuasa buat julung kali memilih pendekatan itu dalam usaha mengekang amalan berkenaan pada peringkat akar umbi.

Beberapa bulan lalu, China melarang penjualan haiwan liar sebagai makanan susulan risiko penularan penyakit kepada manusia, tetapi transaksi itu kekal sah bagi tujuan lain termasuk kajian dan perubatan tradisional.

Penularan COVID-19 yang bermula di pasar hidupan liar Wuhan, dipercayai berpunca daripada kelawar dan berpindah kepada manusia sebelum merebak ke seluruh dunia.

Dua wilayah sudah menggariskan perincian program membantu peralihan peladang kepada hasil pendapatan alternatif.

Jumaat lalu, wilayah Hunan menetapkan skim pampasan untuk memujuk penternak hidupan liar beralih kepada perusahaan menghasilkan teh dan ubat-ubatan herba.

Pihak berkuasa menawarkan bayaran 120 yuan (RM73) bagi setiap kilogram (kg) ular tedung dan ular orok-orok (rattle snake) selain 75 yuan (RM46) untuk tikus buluh.

Musang, yang dipercayai pembawa virus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) kepada manusia dalam penularan virus hampir 20 tahun lalu, ditawarkan 600 yuan (RM367).

Wilayah berhampiran Jiangxi juga mengeluarkan dokumen berkaitan pelan membantu peladang melupuskan ternakan serta bantuan kewangan bagi beralih kepada sektor ekonomi lain.

Kumpulan aktivis hidupan liar, Humane Society International (HSI), berkata Hunan dan Jiangxi adalah pusat pembiakan utama hidupan liar dengan perolehan mencecah 10 bilion yuan (RM6 bilion) pada 2018.

Minggu lalu, akhbar tempatan, Jiangxi Daily, melaporkan bahawa terdapat lebih 2,300 penternak hidupan liar berlesen di wilayah itu, kebanyakannya untuk dijadikan makanan. – AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture