Iran hukum bunuh pengintip bantu AS

 

 

Mahmoud Mousavi Majd didapati bersalah mengintip pasukan bersenjata Iran. – Foto AFP

TEHRAN: Iran hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang lelaki yang didapati bersalah mengintip untuk Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Jurucakap badan kehakiman, Gholamhossein Esmaili, dalam satu sidang televisyen, berkata Mahmoud Mousavi Majd didapati bersalah mengintip pasukan bersenjata Iran, khususnya Pasukan al-Quds dan lokasi Jeneral Qasem Soleimani,

“Dia menerima upah lumayan daripada agensi perisikan Israel, Mossad dan Agensi Perisikan Pusat (CIA), dalam merencana serangan yang menyebabkan kematian jeneral tertinggi Iran itu.

“Hukuman mati Majd sebelum ini ditangguhkan oleh mahkamah agung dan akan dilaksanakan segera,” katanya.

Soleimani, yang mengetuai Pasukan al-Quds iaitu pasukan operasi bersenjata luar negara di bawah naungan Pengawal Revolusi Iran, terbunuh dalam satu serangan dron oleh AS di Baghdad Januari lalu.

Februari lalu, Iran menjatuhkan hukuman sama ke atas Amir Rahimpour, seorang lagi lelaki yang didakwa menjadi pengintip AS yang bersubahat menjual maklumat berhubung program nuklear Iran.

Tehran pada Disember mengumumkan penahanan lapan individu ‘dengan kaitan kepada CIA’ dan terbabit dalam bantahan di seluruh negara susulan kenaikan mengejut harga minyak.

Pada Julai lalu pula, Tehran mendakwa berjaya melumpuhkan rangkaian perisik CIA menerusi penahanan 17 individu antara Mac 2018 dan Mac 2019, dengan sebahagiannya dijatuhi hukuman mati.

Presiden AS, Donald Trump, pada waktu itu menyangkal dakwaan itu dan berkata ia sama sekali tidak benar. – AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture