Klinik Thailand beri minyak ganja percuma

Orang awam mendaftar di kaunter bagi mendapatkan minyak ganja yang ditawarkan oleh klinik itu di Bangkok, hari ini. – Foto AFP

BANGKOK: Sebuah klinik perubatan yang dibuka di sini, menjadi tumpuan ramai apabila menawarkan minyak ganja secara percuma kepada ratusan penduduk Thailand yang berikhtiar mencari penawar penyakit kanser, insomnia dan sakit otot.

Dua tahun lalu, Thailand menjadi negara pertama di Asia Tenggara membenarkan penggunaan marijuana dalam perubatan, meskipun kebanyakan rakyatnya sudah menggunakan herba berkenaan dalam perubatan tradisional.

Pemberian percuma itu bertepatan dengan dasar kerajaannya, yang komited memacu manfaat ekonomi dan penggunaan ganja dalam perubatannya.

Menteri Kesihatan Thailand, Anutin Charnviraku, berkata kerajaan tidak sabar untuk menuai potensi malah membuat pelaburan dalam teknologi mengekstrak, menyuling dan memasarkan minyak ganja.

“Hari ini menandakan permulaan.

“Kita berjuang untuk kesihatan dan ekonomi lebih baik yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya pada pelancaran klinik sambil berdiri di sebelah maskot daun marijuana yang memakai jaket pegawai perubatan.

Minyak kanabis buatan Thailand. Minyak ganja yang diberikan secara percuma kepada penduduk Thailand. – Foto Reuters

Pada pembukaan klinik itu, beratus-ratus warga tua Thailand menunggu untuk menerima botol minyak yang diagihkan antara lima hingga 10 miligram (5-10 mg) bagi mengubati kesakitan otot, sementara yang lain dilihat menderita penyakit lebih serius seperti Natjuta, dilahirkan dengan cerebral palsy dan terbatas dengan bantuan kerusi roda.

Bagi seorang ibu, Supatra Ulapatorn, 60, berkata minyak kanabis membantu anaknya tidur lebih baik dan menjadi tenang.

“Anak saya mempunyai masalah tidur dan disebabkan itu saya sendiri terpaksa berjaga untuk menemaninya.

“Dia lebih tenang sekarang, jadi saya fikir minyak itu memberi kesan yang positif,” katanya.

Sementara itu, Anutin, seorang menteri yang menjadi menteri pembinaan bagi parti Bhumjaithai melobi untuk pro-marijuana dalam pilihan raya tahun lalu, berjanji memberikan “bonanza” ekonomi kepada penduduknya di luar bandar.

Beliau menambah bahawa dadah itu “dikurangkan” di Thailand.

“Jika kita bercakap mengenai pengambilan ganja, saya melihat penggunaannya sebagai ubat dan bukannya narkotik,” katanya.

Bagaimanapun, pengkritik mengatakan batasan undang-undang akan membatasi peluang bagi petani kecil dan kemungkinan besar hanya memberi manfaat kepada firma agro-industri besar.

Penyelidikan perubatan menunjukkan bahawa minyak kanabis boleh membantu meringankan kesakitan pesakit yang mengalami keadaan seperti sklerosis dan epilepsi berganda, tetapi sains tidak memberi impak kepada penyakit serius yang lain termasuk pelbagai jenis kanser.

Penggunaan rekreasi dan perdagangan ganja masih menyalahi undang-undang dan boleh menyebabkan sesiapa yang ditangkap bersamanya dikenakan hukuman berat sehingga 10 tahun penjara. – AFP

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture