4 pemburu haram ditahan kerana bunuh harimau

 

 

Pihak polis Indonesia menunjukkan kulit harimau yang dirampas daripada pemburu haram di Banda Aceh. – Foto AFP

BANDA ACEH: Polis Indonesia menahan empat pemburu haram kerana membunuh seekor harimau Sumatera yang juga spesies hidupan liar yang amat terancam.

Pihak berkuasa Aceh di utara Sumatera, berkata mereka masih mencari suspek kelima yang turut terbabit dalam sindiket jenayah itu.

Pada sidang media hari ini, pihak polis menunjukkan kulit harimau selain gigi dan tulang haiwan berkenaan yang dirampas daripada pemburu haram terbabit.

Jurucakap polis Aceh, Margiyanta, berkata suspek terbabit, yang sudah lama diawasi pihak polis, turut memiliki gigi dan tulang beruang matahari.

“Mereka menjerat hidupan liar terlindung dan membiarkannya mati dan dipercayai adalah sebahagian daripada sindiket terancang berdasarkan cara mereka memerangkap haiwan ini.

“Kami juga mengesyaki anggota badan haiwan ini mahu dijual kepada pembeli di luar rantau ini,” katanya.

Januari lalu, polis Aceh menahan seorang lelaki ketika cuba menjual kulit harimau pada harga 90 juta rupiah (RM27,395).

Menurut pihak berkuasa perlindungan hidupan liar, berpuluh kes membabitkan pemerdagangan atau pemburuan spesies terancam didaftarkan sejak kebelakangan ini.

Badan pemantau perdagangan hidupan liar antarabangsa, TRAFFIC, melaporkan bahawa hampir 80 peratus ancaman dihadapi harimau Sumatera adalah daripada kegiatan pemburuan haram.

Status harimau Sumatera dikategorikan sebagai terancam tahap kritikal oleh Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Hidupan Liar (IUCN) dengan hanya kira-kira 400 ekor dipercayai masih wujud di alam semula jadi. – AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture