74 maut akibat insiden memasak dalam kereta api Pakistan

Penyelamat berjalan melepasi gerabak rentung di Rahim Yar Khan dalam wilayah Punjab, hari ini dalam kebakaran berpunca daripada silinder gas masak meletup. -Foto AFP

ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 74 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera selepas silinder gas memasak meletup dalam sebuah kereta api penuh sesak dengan penganut tabligh di tengah Pakistan hari ini, kata seorang menteri wilayah.

Rakaman televisyen menunjukkan api marak menjilat tiga gerabak ketika penumpang didengar menangis dalam insiden itu, berlaku di kawasan luar bandar tengah wilayah Punjab.

Sesetengah penumpang, ramai penganut tabligh itu dalam perjalanan menghadiri perhimpunan di bandar timur Lahore, sedang memasak sarapan pagi apabila dua silinder gas meletup, kata Ali Nawaz, seorang pegawai kanan Pakistan Railways.

Ramai penumpang Pakistan membawa makanan dalam perjalanan panjang menaiki kereta api namun penggunaan silinder gas dilarang, kata Nawaz dengan siasatan sudah diarahkan.

Sementara Menteri Kereta Api Pakistan, Sheikh Rasheed Ahmed kemudian memberitahu media, adalah satu ‘kesilapan’ membenarkan silinder gas dibawa ke dalam kereta api.

“Sebuah silinder gas meletup dan saya tidak tahu bagaimana, kebakaran berlaku di merata-rata tempat. Saya melompat dari kereta api untuk menyelamatkan diri. Ada barisan panjang di belakang saya, mereka saling tolak menolak,” kata seorang penumpang terselamat, Muhammad Imran.

Seorang superintendan perubatan di Liaguatpur, Muhammad Nadeem Zia, berkata, sesetengah mangsa maut akibat cedera di kepala selepas melompat dari kereta api bergerak. Katanya, sekurang-kurangnya 44 penumpang cedera.

Menteri Kesihatan Wilayah, Yasmin Rashid pada awalnya berkata, lebih 65 orang terbunuh dan lebih 40 cedera namun anggaran itu kemudian dinaikkan oleh Kaleem Ullah, seorang pegawai perkhidmatan kecemasan daerah yang mengatakan 74 orang maut manakala 43 lagi cedera, dengan 11 daripadanya kritikal.

Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital di bandar berhampiran Bahawalpur dan tempat lain di daerah itu, katanya, menambah hanya 18 mayat boleh dikenal pasti.

“Amat sedih dengan tragedi menyayat hati ini, salam takziah saya kepada keluarga mangsa dan berdoa semoga mangsa yang cedera cepat sembuh. Saya sudah mengarahkan siasatan segera dilaksanakan,” kata Perdana Menteri Imran Khan di Twitter.

Gambar menunjukkan penumpang berkerumun melihat gerabak terbakar berhampiran Rahim Yar Khan dalam wilayah Punjab hari ini. -Foto

Imran berkata, kereta api itu adalah jenis Tezgam, perkhidmatan kereta api tertua dan paling popular di Pakistan, menghubungkan bandar pelabuhan selatan di Karachi ke bandar tentera di Rawalpindi, berhampiran ibu kota ini.

Media tempatan melaporkan, beberapa penumpang maut akibat melompat daripada kereta api masih bergerak untuk menyelamatkan diri.

“Tragedi boleh dielak namun apa yang saya tahu tiada pemeriksaan bagasi atau sekatan dikuatkuasakan. Tragik,” kata Menteri Hak Asasi Manusia, Shireen Mazari di Twitter.

Penumpang terbabit dalam perjalanan menghadiri Ijtimak Tabligh, satu daripada perhimpunan agama terbesar Pakistan yang dihadiri sehingga 400,000 pengikut di sebuah perkampungan khemah di luar Lahore selama beberapa hari. -Reuters/AFP

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture