Kes simbah air panas: Ibu “tidak sangka anak akan mati”

Azlin Arujunah bersama suaminya, Ridzuan Mega. (Gambar: Facebook)

SINGAPURA. Wanita yang dituduh menyimbah air panas pada anaknya yang berusia lima tahun pernah “menjadi mangsa simbahan air panas” dan “tidak menyangka anaknya akan mati”.

Demikian menurut kenyataan bertulis Azlin Arujunah, 27 tahun, yang dibacakan oleh Penolong Superintendan Polis Jabatan Siasatan Jenayah, Mahathir Mohamad semasa dihadapkan ke Mahkamah Tinggi pagi tadi (20 Nov).

Azlin sedang dibicarakan bersama suaminya, Ridzuan Mega Abdul Rahman atas tuduhan membunuh dengan niat yang sama. Pasangan itu didakwa menyimbah air panas ke atas anak lelaki mereka sehingga budak itu rebah dan kemudian meninggal dunia di hospital pada Oktober 2016.

ASP Mahathir memberi keterangan sebagai saksi pihak pendakwa dan disoal di mahkamah hari ini untuk mengesahkan butiran-butiran kenyataan yang diambilnya daripada kedua-dua tertuduh antara bulan Oktober dengan November 2016.

Semasa hari kejadian, Azlin berkata dia “berasa sangat marah” terhadap anaknya. Namun dia “menyesali perbuatannya” dan “tidak menyangka anaknya akan mati”.

“Saya ingat pada hari itu, hanya sekali sahaja saya menyimbah air padanya. Bukan semua air, yang saya dan suami saya simbah adalah air panas. Sebahagiannya air paip. Anak saya berkata ‘kau gila ke apa’ kepada saya dan itu membuat saya begitu marah,” menurut Azlin, yang juga mempunyai beberapa orang anak lain.

Cawan yang digunakan untuk menyimbah air panas. (Gambar: Dokumen mahkamah)

Menurut Azlin, dia tidak berniat langsung untuk menyimbah air panas pada bahagian muka anaknya. Namun, ia tetap terkena pada wajah kanak-kanak itu.

“Ia berlaku selama 15 minit. Selepas itu saya rasa menyesal dan menyapu krim pada muka, badan, kaki dan tangannya,” tambah Azlin dalam kenyataannya.

Mahkamah juga diberitahu bahawa Azlin “tidak mempunyai sesiapa untuk membimbingnya”.

PENDAM DIRI DISERANG SUAMI

Dalam sesi perbicaraan semalam (19 Nov), peguam bela Azlin, Encik Thangavelu, berhujah bahawa wanita itu dipisahkan daripada ibu bapanya ketika berusia empat atau lima tahun dan “juga mangsa dera semasa kecil”.

“Seluruh hidup saya, saya berdepan keganasan. Saya sendiri mangsa yang disimbah air panas oleh ibu bapa saya. Suami saya juga menyerang saya dan saya pendam diri. Apabila anak saya berdegil, saya lepaskan kemarahan padanya,” menurut kenyataan Azlin yang dibacakan hari ini.

Sebelum ini mahkamah diberitahu bahawa Ridzuan pernah memukul Azlin dengan teruk sehingga wanita itu dimasukkan ke hospital.

Hari ini, ASP Mahathir berkata terdapat aduan-aduan yang dibuat pada tahun 2010, 2015 dan 2016 berhubung dakwaan Azlin diserang oleh suaminya. Namun tidak ada sebarang rekod hospital untuk menunjukkan bahawa dia dimasukkan ke hospital.

Sangkar kucing di mana kanak-kanak lelaki 5 tahun dikurung. (Gambar: Dokumen Mahkamah)

Apabila ditanya oleh peguam bela Azlin tentang aduan-aduan tersebut, ASP Mahathir berkata terdapat beberapa aduan polis mengenai pertikaian rumahtangga oleh pasangan itu.

ASP Mahathir menambah, pada 2010 Azlin membuat aduan bahawa Ridzuan menumbuk bahagian perut dan kepalanya. Manakala, aduan yang dibuat pada 2015 dan 2016 adalah menerusi panggilan telefon mengenai pertikaian antara pasangan tersebut.

RIDZUAN “CUMA MAHU ANAK RASA SAKIT & TAKUT”

ASP Mahathir turut diminta oleh pihak pendakwa untuk membacakan kenyataan-kenyataan Ridzuan, 27 tahun, yang juga melahirkan rasa kesal atas perbuatannya terhadap mangsa.

“Saya cuma mahu dia rasa sakit dan takut. Tetapi sekarang saya tahu apa yang saya lakukan adalah salah dan saya tidak akan ulanginya lagi,” menurut Ridzuan dalam salah satu kenyataannya.

Apabila diminta menggambarkan perilaku Azlin dan Ridzuan semasa kenyataan mereka diambil, ASP Mahathir berkata pasangan itu berkelakuan “biasa dan bekerjasama”. Kadangkala Azlin “menangis”.

UJIAN AIR KENCING AZLIN & RIDZUAN NEGATIF DADAH

Pihak pendakwa juga bertanyakan beberapa soalan kepada ASP Mahathir mengenai ujian air kencing yang dijalankan ke atas pasangan itu.

Menurut ASP Mahathir, ujian air kencing segera dijalankan pada hari pasangan itu ditangkap, iaitu pada 23 Oktober 2016. Namun, keputusan bagi kedua-duanya negatif.

ASP Mahathir menambah, semasa polis menggeledah rumah pasangan itu, tiada sebarang dadah atau peralatan dadah dijumpai.

Azlin dan Ridzuan sebelum ini dilaporkan mengambil dadah bersama.

Peguam bela Ridzuan kemudian bertanya sama ada ASP Mahathir setuju bahawa terdapat pelbagai faktor yang menentukan berapa lama dadah methamphetamine boleh bertahan dan dikesan dalam tubuh.

ASP Mahathir menjawab: “Saya tidak boleh menjawab soalan ini.”

Perbicaraan akan diteruskan Selasa depan (26 Nov).

Jika sabit kesalahan membunuh, Azlin boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup. Sabit kesalahan, suaminya pula berdepan dengan hukuman sebat jika tidak dihukum mati.

– BERITAmediacorp

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture