Tidak perlu ada perkataan dara – Mahkamah Bangladesh arah terma tersebut tidak digunakan dalam sijil nikah

Pengantin di Bangladesh tidak lagi perlu mendedahkan sama ada mereka adalah perawan. Foto Sumber: Getty Images

DHAKA – Perkataan’dara’ mesti dipadamkan daripada sijil nikah orang Islam di Bangladesh, kata mahkamah tinggi negara berkenaan dalam keputusan bersejarah susulan kempen mencabar terma tersebut yang dianggap memalukan dan bersifat diskriminasiterhadap wanita.

Di bawah undang-undang perkahwinan Islam di negara Asia Selatan itu, pengantin perempuan perlu memilih antara tiga pilihan yang terdapat pada sijil nikah mereka, sama ada kumari (dara), balu atau pun janda.

Dalam satu keputusan ringkas pada Ahad lalu, mahkamah berkenaan memerintahkan kerajaan untuk membuang terma itu dan menggantinya dengan pilihan ‘tidak berkahwin’, demikian menurut Timbalan Peguam Negara, Amit Talukder kepada agensi berita AFP.

Mahkamah sama dijangka menyiarkan keputusan penuh kes itu menjelang Oktober ini, manakala perubahan pada sijil nikah pula akan berkuat kuasa selepas itu.

Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia telah lama mengkritik terma yang digunakan dalam sijil nikah orang Islam di Bangladesh sejak diperkenalkan pada tahun 1961.

Mereka berkata, ia ‘memalukan dan bersifat mendiskriminasi’ serta melanggar hak privasi pengantin wanita.

Penghakiman itu juga me­ngarahkan pihak berkuasa untuk memperkenalkan pilihan ‘tidak berkahwin, balu atau duda, bagi pengantin lelaki pada sijil nikah mereka.

Bangladesh merupakan negara yang memiliki penduduk beragama Islam ketiga pa­ling ramai di dunia. Hampir 90 peratus daripada seramai 168 juta rakyatnya memeluk agama Islam. – AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture