Angka maut nahas bas Indonesia kini 28 orang

JUMLAH mangsa maut dalam nahas bas di Indonesia kelmarin meningkat kepada 28 orang termasuk lapan kanak-kanak. – Foto AFP

JAKARTA: Jumlah mangsa maut dalam nahas bas di Indonesia kelmarin meningkat kepada 28 orang termasuk lapan kanak-kanak, kata polis hari ini ketika pasukan penyelamat terus melakukan pencarian dalam sungai.

Dalam kejadian itu, bas terbabit terjunam 150 meter ke dalam gaung di wilayah Sumatera Selatan sebelum tengah malam Isnin lalu sebelum terbabas dalam sungai, menurut polis.

Ketua polis tempatan, Dolly Gumara berkata hari ini, satu lagi mayat ditemui lewat semalam, menjadikan jumlah mangsa yang maut kepada 28 orang berbanding 27 sebelum ini dengan lapan daripadanya adalah kanak-kanak.

“Kami sudah mengenal pasti 27 mangsa yang maut dan hanya satu mayat masih belum dikenal pasti sehingga ke hari ini. Mangsa adalah wanita,” kata Dolly kepada AFP hari ini.

Pasukan penyelamat tempatan berkata, ia mengeluarkan sekurang-kurangnya 13 mangsa masih hidup dan pencarian masih diteruskan untuk mencari mayat mangsa lain yang dibimbangi dihanyutkan arus.

Menurut keterangan penumpang, bas malang itu berlepas dari wilayah Bengkulu ke Pagar Alam bersama 27 penumpang namun sesetengah mangsa masih hidup memberitahu polis, ada kira-kira 50 orang dalam bas ketika nahas berlaku.

“Ada kemungkinan lebih ramai mangsa, sebab itulah mengapa kami masih meneruskan pencarian,” kata jurucakap pasukan penyelamat tempatan dikenali Taufan. -AFP

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture