Kubur wanita di tengah vila

KUBUR Kim Lien yang dibina kemas ditempatkan di bahagian tengah rumah agam tersebut. – VIETNAMNET

Hanoi. – Sekali pandang, ‘Vila Kubur’ di wilayah Ben Tre kelihatan seperti sebuah kediaman biasa tetapi sebaik sahaja menjejakkan kaki, anda akan melihat sebuah kubur bersama makam seorang wanita berada di tengah ruang tamu.

Banglo tersebut juga bukannya rumah tinggal, malah, masih berpenghuni sehingga sekarang.

VILA kubur kelihatan seperti rumah biasa dari luar pagar terletak di wilayah Ben Tre, Vietnam ketika dirakam baru-baru ini. – VIETNAMNET

Kisah vila terkenal di Ben Tre itu bermula pada 28 Januari 1960 apabila seorang wanita tempatan, Dang Thi Nhan melahirkan seorang anak perempuan yang dinamakan Tran Thi Kim Lien.

Kim Lien membesar dalam kemiskinan tetapi apabila usianya 18 tahun, dia jatuh cinta dengan seorang pemilik bot nelayan. Tiga tahun kemudian, mereka berkahwin dan berhijrah ke Amerika Syarikat (AS).

Wanita itu memulakan perniagaan hiasan dalaman yang membolehkan dia hidup mewah di AS dan mengirim wang kepada keluarga di kampung halaman.

Sekitar tahun 2000, semasa pulang melawat keluarganya, Kim Lien memberitahu ibunya dan adik-beradik lain bahawa dia merancang untuk menetap di Vietnam lantas, meminta mereka membina sebuah vila bagi menggantikan rumah usang tempat dia membesar.

Wanita itu juga mahu keluarganya tinggal di bawah satu bumbung dan bersedia menampung kos pembinaan tersebut.

Selepas rumah itu siap sepenuhnya pada tahun 2006, kediaman itu muncul sebagai satu-satunya rumah mewah di seluruh Daerah Tan Thac tetapi malangnya, Kim Lien dapat tinggal di dalamnya selama beberapa bulan sahaja.

Photo: Facebook

Tidak lama selepas pulang dari AS pada tahun 2007, Kim Lien mula jatuh sakit dan disahkan menghidap kanser. Dia cuba menggunakan khidmat doktor tempatan tetapi keadaannya semakin tenat sehingga terpaksa kembali ke AS untuk mendapatkan rawatan.

“Saya tidak sempat tinggal di dalam rumah mewah ini, jika saya mati tolong kebumikan saya di kediaman ini,” pinta Kim Lien kepada ibunya sebelum pergi ke AS seperti yang diceritakan kepada media tempatan.

Dia meninggal dunia pada 10 Mei 2007 dan keluarganya membuat keputusan untuk membawa mayatnya pulang dan dikebumikan mengikut wasiat mendiang.

Ibunya kerap memberitahu pengunjung bahawa vila tersebut dibina daripada hasil titik peluh anak perempuannya, maka, adalah wajar baginya untuk memenuhi permintaan akhir mendiang yang mahu dikelilingi ahli keluarga walaupun selepas meninggal dunia.

Pengebumian wanita itu dihadiri hampir kesemua penduduk di Tan Thac termasuk pegawai tempatan.

Apabila kisah vila itu tersebar, terdapat khabar angin menyatakan bahawa kediaman tersebut berhantu dan kejadian-kejadian aneh juga pernah berlaku.

Bagaimanapun, anggota keluarga Kim Lien tinggal di dalamnya sejak 12 tahun lalu dan menegaskan bahawa mereka tidak pernah mengalami peristiwa seram sepanjang tempoh tersebut. Vila Kubur kini didiami adik bongsu mendiang Kim Lien, Tran Van Tuan dan keluarganya. – Agensi

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture