Peti harta karun ‘ahli sihir’ ditemui ahli arkeologi di Pompeii

SATU ukiran tangkal dipercayai digunakan dalam upacara kesuburan dan memikat oleh ahli sihir purba di Pompeii. – EPA

Casa Del Giardino, Itali. – Ahli arkeologi telah menemui sejumlah besar objek-objek yang mungkin sebahagian daripada harta karun ‘ahli sihir’ purba Pompeii di sini baru-baru ini.

SEBAHAGIAN objek yang ditemui sekumpulan ahli arkeologi di Casa del Giardino, Itali baru-baru ini. – EPA

Antara objek yang ditemui itu termasuk batu kristal, batu ambar dan kecubung, butang dibuat daripada tulang, kumbang dari Timur, tangkal, patung, loceng, satu tengkorak kecil dan lain-lain artifak unik.

Pakar arkeologi percaya kesemua objek tersebut mungkin telah digunakan dalam upacara untuk kesuburan, memikat mahupun menilik kelahiran atau kehamilan tetapi setakat ini semua itu hanya teori awal mereka.

“Terdapat berpuluh-puluh tangkal ditemui bersama objek-objek lain yang dikaitkan dengan kuasa melawan nasib malang,” kata pengarah tapak arkeologi itu, Massimo Osanna kepada agensi berita Itali, Ansa.

Osanna bagaimanapun percaya objek-objek tersebut adalah milik seorang hamba atau orang suruhan dan bukannya pemilik rumah di mana ia ditemui. Kotak menyimpan kesemua objek tersebut tidak mempunyai sebarang hiasan emas yang kerap dikaitkan dengan golongan kaya Pompeii.

“Objek-objek ini mungkin datang daripada rantai leher yang dipakai pada upacara tertentu dan bukannya sebagai aksesori hiasan,” tambah Osanna.

Gunung Berapi Vesuvius meletus pada tahun 79 Selepas Masihi dan menimbus bandar Pompeii, Oplontis dan Stabiae di bawah timbunan abu dan serpihan batu, manakala bandar Herculaneum tenggelam di bawah aliran lumpur. – Agensi

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture