Suspek kes bunuh 19 OKU dibicara hari ini

SATOSHI Uematsu (kiri). – Foto AFP

TOKYO : Seorang lelaki dituduh membunuh 19 penghuni kelainan upaya (OKU) di sebuah pusat jagaan pada 2016 mula dibicarakan hari ini, dalam kes pembunuhan beramai-ramai yang disifatkan sebagai antara terburuk di Jepun.

Satoshi Uematsu, bekas pekerja sebuah pusat jagaan di pinggir Tokyo mengaku menikam kesemua mangsa, namun peguamnya dijangka memfailkan pengakuan tidak bersalah atas kapasiti kesalahan lebih ringan.

Uematsu dilaporkan mahu menghapuskan semua golongan OKU dalam serangan pada 26 Julai di pusat jagaan Tsukui Yamayuri-en di pekan Sagamihara itu.

Lelaki berusia 29 tahun berkenaan dituduh memecah masuk pusat jagaan terbabit dan memasuki setiap bilik untuk mencari mangsa.

Dalam kejadian dahsyat itu, 19 orang terbunuh manakala 26 lagi cedera, dengan separuh daripadanya dalam keadaan parah.

Suspek kemudian menyerah diri di balai polis sambil membawa sebilah pisau berlumuran darah dan mengaku melakukan jenayah berkenaan.

Siasatan mendapati Uematsu berhenti dari berkhidmat di pusat jagaan itu beberapa bulan sebelum serangan dan dimasukkan ke hospital selepas menceritakan niatnya mahu membunuh semua penghuni OKU kepada seorang rakan setugas.

Dia bagaimanapun dibebaskan 12 hari kemudian apabila doktor mendapati pemuda terbabit tidak menimbulkan sebarang ancaman.

Uematsu berdepan 6 tuduhan, termasuk pembunuhan dan boleh dijatuhkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Sejak ditahan, suspek tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah, malah terus berkongsi keinginannya untuk menghapuskan golongan OKU di Jepun. – AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture