14 pekerja migran berjalan di landasan maut dirempuh kereta api

 

 

Pihak polis memeriksa landasan antara wilayah Jalna dan Aurangabad di Maharashtra, India di mana 14 pekerja migran maut dirempuh kereta api. – Foto AFP

MUMBAI: Tindakan sekumpulan buruh miskin berjalan mengikut landasan kereta api untuk pulang ke kampung selepas hilang kerja akibat perintah berkurung berikutan wabak COVID-19 mengundang padah apabila 14 maut di rempuh kereta api.

Menurut pegawai polis, SS Sutale, kesemua mangsa dipercayai pekerja migran yang datang dari wilayah atau negeri lain di India dan sedang dalam perjalanan pulang ke kampung ketika dirempuh kereta api di daerah timur Maharashtra.

Mereka antara jutaan yang hilang kerja selepas Perdana Menteri, Narendra Modi, mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19, mengakibatkan pekerja migran itu terkandas tanpa punca pendapatan.

Beberapa jam selepas tragedi itu, Kementerian Kereta Api India, memuat naik ciapan di laman Twitter memaklumkan pemandu melihat mangsa, namun tidak sempat memberhentikan kereta api.

“Tiga yang lain cedera dan sudah dibawa ke hospital” katanya yang turut mengarahkan siasatan dimulakan berhubung kemalangan itu.

Sementara itu, pegawai polis daerah, Vaibhav Kalumbarme, berkata pihaknya sedang menyiasat tragedi itu memandangkan terdapat garis panduan ketat bagi menghalang penceroboh memasuki landasan kereta api melalui mana-mana stesen.

“Bagaimanapun, adalah mustahil untuk memantau setiap inci landasan ketika mereka mengambil jalan pintas,” katanya.

Walaupun terdapat pengumuman mengenai kereta api khas yang akan membawa pulang pekerja migran, kebanyakan mereka meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki ke kampung halaman.

Media tempatan melaporkan, sesetengah daerah mengenakan bayaran untuk tiket kereta api, yang tidak mampu dibayar oleh mereka kerana kemiskinan.

Perjalanan pulang itu menjadi sesuatu yang sangat berbahaya bagi beberapa pekerja migran sejak perintah berkurung dilaksanakan.

Kajian dilakukan Yayasan SaveLIFE, mendapati 140 orang terbunuh dalam rempuhan kereta api di seluruh negara, dengan sekurang-kurangnya 42 mangsa adalah pekerja migran yang dalam perjalanan pulang ke kampung.

“Kita mengadakan kempen bagi menasihatkan orang ramai supaya tidak berjalan di atas landasan dan melakukan segala yang termampu untuk mengembalikan mereka kepada ahli keluarga dengan segera.

“Ini adalah satu kemalangan yang tragik,” katanya. – AFP

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture