Misteri kemunculan ribuan cacing tanah di Lombok terjawab

 

 

– Foto PIXABAY

JAKARTA: Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia menegaskan kemunculan ribuan cacing tanah di Lombok Tengah, Nusa Tenggara Barat yang tular baru-baru ini bukan tanda gempa bumi akan berlaku.

Video cacing di Facebook dimuatnaik oleh seorang penduduk daerah Batukliang Utara itu mencetuskan kebimbangan bahawa itu mungkin tanda awal bakal berlaku gempa bumi.

Berdasarkan rekod, Nusa Tenggara Barat pernah dilanda gempa bumi besar antara Julai dan Ogos 2018, mengakibatkan ratusan maut dan banyak bangunan musnah, malah wilayah itu belum pulih sepenuhnya daripada peristiwa itu.

Ketua Inspektor Polis Batukliang Utara, Komang Ranaka, mengesahkan bahawa kejadian seperti yang terkandung dalam video tular itu memang berlaku.

“Kejadian berlaku di kampung Bagek Nunggal,” katanya kelmarin, seperti yang dilaporkan agensi berita kompas.com.

Ketua Stesen Geofizik Mataram, Ardhianto Septiadhi, bagaimanapun menafikan bahawa kejadian dalam video tular itu satu isyarat kemungkinan berlaku gempa bumi.

“Fenomena itu tidak disusuli oleh asas isyarat gempa bumi lain seperti anjing menyalak, ikan melompat di kolam dan ular meninggalkan tempat persembunyian.

“Kemunculan secara tiba-tiba cacing berkenaan dalam jumlah yang besar ada kaitan dengan perubahan cuaca atau iklim secara tiba-tiba,” katanya.

Namun, Ardhianto meminta orang ramai supaya tetap berwaspada berikutan Lombok adalah kawasan dikenali sebagai ‘Lingkaran Api’, yang kerap berlaku gempa bumi. – AGENSI

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture