Penembak masjid Norway dipenjara 21 tahun atas kesalahan membunuh, antipengganasan

 

 

Philip Manshaus luah pandangan anti-pendatang dan anti-Muslim yang kuat sebelum serangan tahun lalu itu dan tidak menunjukkan sesalan semasa perbicaraan. EPA-EFE

OSLO: Seorang lelaki pelampau kanan Norway dipenjara 21 tahun semalam di atas pembunuhan bermotif perkauman terhadap adik perempuan tirinya yang dilahirkan di China dan percubaan membunuh jemaah masjid.

Philip Manshaus meluahkan pandangan anti-pendatang dan anti-Muslim yang kuat sebelum serangan tahun lalu itu dan tidak menunjukkan sesalan semasa perbicaraan.

Manshaus, yang kini berusia 22 tahun, menembak dan membunuh Johanne Zhangjia Ihle-Hansen di rumah keluarga mereka, dan kemudian menjelaskan dia percaya anak angkat temanita ayahnya itu menimbulkan risiko kepada keluarga kerana asal-usul Asia beliau.

Dia kemudian memandu ke Pusat Islam al-Noor yang berdekatan dan memasuki bangunan itu, melepaskan tembakan tetapi tidak mengena sesiapa sebelum ditumpaskan oleh seorang anggota jemaah berusia 65 tahun yang merampas senapangnya.

“Dia masuk dengan tujuan membunuh seramain mungkin orang Islam,” kata hakim Annika Lindstroem.

Manshaus meluahkan kekagumannya terhadap pembunuhan lebih 50 orang di dua masjid New Zealand tahun lalu oleh seorang pengganas kulit putih yang merakam dan menyiarkan pembunuhan itu secara langsung.

Manshaus memakai kamera topi keledar, merakam tembakan di masjid itu, tetapi gagal dalam percubaannya untuk menyiarkan serangan itu dalam talian.

Dalam perbicaraan mahkamah pertamanya Ogos lalu, Manshaus muncul dengan lebam di mata, wajah dan lehernya akibat pergaduhan yang menyusuli di masjid tersebut.

Mahkamah menolak permohonan peguam bela untuk mengisytiharkan Manshaus tidak siuman, sebaliknya bergantung pada penilaian psikiatri yang mendapati dia layak untuk dibicarakan.

Hukuman penjara 21 tahun itu, yang paling tinggi untuk pembunuhan tahap pertama dan pelanggaran undang-undang antipengganasan, juga mengandungi peruntukan bahawa pembebasannya boleh ditangguh bagi tempoh masa yang tidak pasti sekiranya dia masih dianggap sebagai ancaman bagi masyarakat.

 

Sumber: BH Singapura

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture