Kempen habis-habisan Filipina memerangi dadah gagal

 

KETUA pasukan penguatkuasa dadah Polis Nasional Filipina, Kolonel Romeo Caramat .- Foto Reuters

MANILA: Pendekatan memerangi jenayah dadah menggunakan keganasan melampau didapati tidak berkesan sama sekali kerana gejala itu terus berleluasa.

Ketua pasukan penguatkuasa dadah Polis Nasional Filipina, Kolonel Romeo Caramat, berkata walaupun jenayah membabitkan dadah semakin berkurangan, bekalan bahan terlarang itu masih boleh didapati pada bila-bila masa di negara itu.

Beliau, ketika beliau bertugas sebagai ketua polis pada 2017, menyaksikan sendiri peristiwa berdarah peperangan membasmi dadah di Filipina, di mana 32 orang maut dalam tempoh 24 jam di wilayah utara Manila.

“Pendekatan memerangi jenayah dadah menggunakan keganasan melampau didapati tidak berkesan sama sekali.

“Tindakan ganas yang bertujuan memberi kejutan tidak mendatangkan hasil, malah penyalahgunaan dan bekalan dadah masih berleluasa,” katanya yang bercakap buat pertama kali mengenai isu itu dalam wawancara bersama Reuters.

Katanya, beliau kini beralih kepada strategi baharu, iaitu menggunakan kaedah pemantauan, dengan harapan ia akan membawa polis untuk mengetahui lokasi persembunyian sindiket mendalangi pengedaran dadah.

Beliau berpendapat, cara itu lebih berkesan berbanding kaedah diguna pakai sebelum ini, iaitu menangkap dan membunuh orang bawahan dalam rantaian pengedaran dadah.

Menurut pegawai polis, profesional perubatan dan pegawai kerajaan, dasar Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, untuk membunuh semua penagih dan pengedar terbukti gagal mencapai sebahagian besar objektif utama, selepas tiga tahun setengah diperkenalkan.

Jurucakap Duterte, Salvador Panelo, tidak memberi sebarang maklum balas ketika diminta mengulas kenyataan dibuat Caramat, namun dalam kenyataan semalam, Panelo berkata mereka semakin memenangi peperangan berkenaan.

Bagaimanapun, Duterte, dalam beberapa ucapan dan wawancara berulang kali menyatakan kempen anti dadah itu gagal kerana rasuah berleluasa serta ketiadaan hukuman mati adalah antara faktor usaha membanteras jenayah itu gagal dilaksanakan.

Menurut pengkritik, usaha memerangi dadah itu lebih rumit daripada yang disangka, khususnya apabila pihak berkuasa gagal melumpuhkan pengedar besar, menyekat bekalan bahan itu serta melabur dalam program pemulihan.

Wakil Pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu untuk Dadah dan Jenayah (UNODC) Asia Tenggara dan Pasifik, Jeremy Douglas, yang berpangkalan di Bangkok, berkata strategi lebih holistik perlu diselaras.

“Tindakan keras menjurus kepada pembunuhan tanpa keadilan dan tangkapan jalanan tidak akan membantu mengurangkan permintaan bahan ini.

“Perlu ada tumpuan terhadap pencegahan dan kesihatan awam, seiring dengan beberapa dasar yang khusus memberi perhatian kepada jenayah merentasi negara,” kata – REUTERS

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture