Penyelidik perubatan ditemui mati ditembak

 

 

Bing Liu

PENNSYLVANIA: Seorang penyelidik perubatan yang dipercayai hampir menghasilkan penemuan signifikan mengenai COVID-19, ditemui mati ditembak, di sini, Sabtu lalu.

Menurut pemeriksa perubatan daerah Allegheny, mangsa dikenali sebagai Bing Liu, 37, yang juga penyelidik di Sekolah Perubatan, Universiti Pittsburgh, ditemui mati di dalam sebuah rumah di Ross Township, utara Pittsburgh.

Agensi berkenaan berkata, mangsa ditembak di bahagian kepala dan leher.

“Sejam selepas mayat Liu ditemui, polis menjumpai mayat mangsa kedua dikenali sebagai Hao Gu, 46, di dalam sebuah kereta tidak jauh dari situ,” kata agensi itu.

Pegawai Penyiasat Ross Township, Sarjan Brian Kohlhepp, berkata kedua-dua lelaki terbabit mengenali antara satu sama lain.

Polis percaya Gu membunuh Liu sebelum menamatkan hayat dirinya dengan beberapa tembakan.

Menurut Jabatan Polis Ross dalam satu kenyataan, semalam, insiden itu dipercayai berlaku pada Sabtu lalu selepas satu pertengkaran membabitkan teman intim.

“Kami tidak menemui sebarang bukti yang mengaitkan pembunuhan dengan Universiti Pittsburgh, kerja dilakukan universiti itu atau krisis global dialami Amerika Syarikat (AS) dan seluruh dunia ketika ini,” kata polis.

Hasil siasatan sudah diserahkan kepada pihak berkuasa persekutuan kerana kedua-dua mangsa bukan rakyat tempatan.

Liu yang memiliki ijazah kedoktoran (PhD) dalam jurusan sains komputer daripada Universiti Nasional Singapura, berkhidmat sebagai felo kedoktoran di Universiti Carnegie Mellon sebelum menjadi penyelidik bersekutu di Sekolah Perubatan, Universiti Pittsburgh.

Mendiang Liu digambarkan universiti itu sebagai mentor cemerlang dan penyelidik prolifik yang juga pengarang membabitkan lebih 30 kertas kerja dengan fokus kepada biologi sistem. – Agensi

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture