Polis India buru suspek rogol kanak-kanak 6 tahun

Gambar hiasan

NEW DELHI: Polis India semalam melancarkan gerakan memburu seorang lelaki susulan kes culik serta rogol membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Madhya Pradesh

Penyerang terbabit bukan sekadar melakukan perbuatan terkutuk itu, malah turut disyaki mencederakan mata mangsa bagi mengelakkan dirinya dikenali.

Menurut polis, kanak-kanak malang itu kini berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital di bandar Jabalpur.

Insiden berkenaan mendapat perhatian Ketua Menteri, Shivraj Singh Chouhan, yang menyifatkan jenayah kejam itu sebagai ‘menjijikkan’.

Polis berkata, mangsa dikatakan diculik ketika sedang bermain di luar rumah bersama rakannya pada petang Rabu lalu.

Kanak-kanak itu dilaporkan dijumpai pada keesokan pagi di sebuah bangunan terbengkalai dalam keadaan tangan berikat dan tidak sedarkan diri.

“Kami mendapati kedua-dua belah matanya dicederakan penyerang yang turut melukakan muka mangsa.

“Doktor sedang melakukan pembedahan ke atas mata anak malang itu,” kata Superintendan Hemant Chauhan kepada media.

Susulan itu, polis menawarkan ganjaran wang tunai berjumlah 10,000 rupee untuk sebarang maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan suspek.

Chouhan berkata, polis sudah menyoal siasat beberapa individu dan berharap dapat membuat tangkapan dengan segera.

Rogol dan jenayah seksual sering menjadi tajuk utama di India sejak tragedi pada 2012 di mana seorang gadis diperkosa beramai-ramai serta dibunuh di dalam sebuah bas di New Delhi.

Insiden kejam itu mencetuskan bantahan besar-besaran di seluruh negara, sekali gus membawa kepada pindaan undang-undang rogol walaupun ia tidak membantu mengurangkan kadar jenayah terbabit.

Menurut perangkaan terkini, setiap mangsa keempat jenayah rogol di India adalah kanak-kanak dan sebahagian besar kes membabitkan penyerang yang dikenali.

Pada November tahun lalu, kes rogol dan bunuh seorang doktor haiwan berusia 27 tahun di selatan Hyderabad menarik perhatian global dan mencetuskan kemarahan banyak pihak. – Agensi

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture