2 adik-beradik antara 6 mangsa warga Filipina dalam nahas Lucky Plaza

Kemalangan maut di Lucky Plaza. (Gambar: Petikan skrin video media sosial)

SINGAPURA: Dua orang yang maut dan empat lagi yang cedera dalam kemalangan kereta di Lucky Plaza pada Ahad (29 Dis) adalah warga Filipina yang bekerja di Singapura, menurut Kedutaan Filipina dalam kenyataannya pada Isnin.

Pihaknya turut menyatakan keluarga para mangsa di Filipina juga sudahpun dimaklumkan.

Salah seorang daripada mangsa yang maut dan seorang lagi dalam keadaan tenat adalah adik-beradik, jelas pegawai Kedutaan Filipina Adrian Bernie Candolada kepada Mediacorp.

“Sejauh ini, keluarga seorang mangsa yang maut memohon bantuan untuk terbang ke Singapura untuk menemui anggota keluarga yang tersayang di hospital. Kami sudah menyampaikan permintaan mereka kepada pejabat kami di Manila,” kata beliau.

(Gambar: Petikan skrin video media sosial)

Khidmat kecemasan dikerahkan ke Lucky Plaza pada sekitar 5.00 petang pada Ahad selepas beberapa aduan dibuat mengenai insiden yang melibatkan sebuah kereta dan enam pejalan kaki wanita berusia antara 37 hingga 56 tahun.

Dua pejalan kaki, berusia 41 dan 50 tahun, tidak sedarkan diri semasa dibawa ke Hospital Tan Tock Seng, dan mereka kemudian meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.

Empat lagi pejalan kaki dalam keadaan sedar semasa mereka dibawa ke hospital.

Kedutaan tersebut sedang menyelaraskan rancangan dengan para majikan mangsa-mangsa itu untuk membawa pulang jenazah mereka ke Filipina, kata pegawai kedutaan itu.

“Kedutaan Filipina di Singapura dan masyarakat Filipina di Singapura berasa sangat sedih dengan kematian dua warga Filipina dan kecederaan yang dialami empat lagi warga Filipina semasa kemalangan maut di Lucky Plaza semalam (29 Dis),” menurut kenyataan kedutaan itu.

“Kedutaan ini, Pasukan Polis Singapura dan pihak berkuasa hospital sudah bekerjasama untuk mengenal pasti enam mangsa warga Filipina , yang semuanya bekerja di Singapura.

“Kedutaan Filipina di Singapura dan Jabatan Ehwal Luar di Manila memberi komitmen penuh untuk menghulurkan sokongan dan bantuan kepada keluarga para mangsa,” menurut kenyataan itu.

Seorang pemandu lelaki diberkas pada Ahad kerana memandu dengan berbahaya sehingga menyebabkan kematian, menurut polis. Dia seorang pemandu Grab dan kini digantung lesen sementara siasatan masih dijalankan.

“Kami berasa sangat sedih mendengar kemalangan itu dan sedang membantu pihak berkuasa dengan siasatan tersebut,” kata jurucakap Grab.

Lucky Plaza dikenali sebagai tempat berkumpul yang popular dalam kalangan pembantu rumah Filipina pada hari rehat mereka pada Ahad.

Video-video yang tersebar juga menunjukkan ramai yang berada di kawasan tersebut semasa kemalangan itu berlaku.

– CNA

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture