Hakim tembak diri sendiri

Mangsa dikatakan tidak berpuas hati ada campur tangan pegawai atasan

BANGKOK – Seorang hakim yang cuba membunuh diri di mahkamah selepas menuduh pegawai-pegawai atasannya campur tangan dalam penghakimannya telah menimbulkan persoalan berhubung kebebasan sistem kehakiman dan keadilan di Thailand, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Hakim Khanakorn Pianchana

Hakim Khanakorn Pianchana, menembak dadanya di wilayah selatan Yala selepas membebaskan lima tertuduh daripada dakwaan yang membolehkan menyaksikan tiga daripadanya berdepan hukuman mati.

Pianchana kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil di hospital.

Satu dokumen setebal 25 muka surat mula tular atas talian, me­nuduh pegawai-pegawai atasan Pianchana berkenaan cuba memaksa hakim itu untuk mengubah keputusan penghakimannya kepada bersalah.

Dokumen sama dilaporkan dimuat naik di laman sosial Face­book Pianchana bersama satu video pendek memaparkan dia membuat dakwaan sama.

Seorang jurucakap mahkamah berkata, tindakannya adalah di­sebabkan tekanan peribadi, namun beberapa pakar perundangan berpendapat, ia menyokong dakwaan bahawa bidang kehakiman terbuka kepada manipulasi.

Dua frasa yang disebut Pianchana menyentuh perasaan pengguna sosial media: ‘Kembalikan keputusan penghakiman kepada hakim. Kembalikan keadilan kepada rakyat.’

Sistem mahkamah Thailand berdepan kritikan sejak beberapa tahun lalu, secara amnya berkaitan dakwaan rasuah, namun kini untuk satu dakwaan lebih cenderung kepada politik.

Sebelum ini, cubaan untuk memperbaharui bidang kehakiman mendapat tentangan keras.

Masalah berpotensi dilihat lebih teruk di kawasan selatan Thailand, termasuk wilayah Yala, dengan kumpulan pemisah Islam didakwa menyebabkan lebih 6,000 kematian sejak 2004 di tengah-tengah dakwaan tentera bertindak kejam dalam membendungnya.

Sebahagian besar penduduk di Thailand menganuti agama Buddha, manakala tiga wilayah selatan pula majoritinya Islam.

Pianchana turut membuat ke­nyataan yang merujuk kepada situasi keselamatan di wilayah selatan Thailand.

Hakim itu menyatakan hasil pengakuan daripada mereka yang dituduh pemberontak semasa dalam tahanan teruk bukan bukti meyakinkan, satu perkara yang kerap dibangkitkan aktivis hak asasi kemanusiaan.

Pianchana juga menceritakan satu kes terdahulu, dia dipaksa untuk meringankan hukuman ke atas tiga askar yang terlibat dalam pembunuhan seorang awam ke­rana mereka menjalankan tugas negara.

Kenyataan itu juga mengan­dungi aduan lain, termasuk bayaran dan persekitaran kerja hakim-hakim mahkamah rendah. – Agensi

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture