Lelaki Australia dipenjara secara salah terima pampasan lebih A$7 juta

Eastman ketika hadir di Mahkamah Agung Canberra 4 Oktober lalu. -Foto EPA

SYDNEY: Seorang ahli ekonomi Australia yang secara salah dipenjara selama hampir dua dekad kerana dituduh membunuh seorang pegawai polis berpangkat tinggi, diberi pampasan lebih A$7 juta semalam.

Bekas kakitangan awam, David Eastman disabitkan pada 1995 kerana membunuh pegawai Polis Persekutuan Australia, Colin Winchester dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Eastman, yang mendakwa dirinya tidak bersalah serta beberapa kali membuat rayuan, dibebaskan pada 2014 selepas sabitan ke atasnya ditolak. Mahkamah Agung Wilayah Ibu Kota Australia (ACT) mengarahkan kerajaan membayar pampasan lebih A$7 juta.

Eastman bagaimanapun memohon pampasan sekurang-kurangnya A$18 juta.

Lelaki berusia 74 tahun itu memberitahu mahkamah, dia bukan hanya kehilangan peluang memiliki keluarga dan meneruskan kerjayanya, malah ibu dan saudara perempuannya meninggal dunia ketika dia dipenjarakan.

Mahkamah juga mendengar, dia menjadi saksi pembunuhan ketika ditahan dan masih mengalami kecacatan penglihatan sebelah mata selepas diserang banduan lain pada 2006.

Peguamnya, Sam Tierney memberitahu media di luar mahkamah di Canberra, anak guamnya ‘amat gembira’ dengan keputusan itu.

Tidak jelas jika kerajaan ACT akan merayu keputusan itu. Kes itu merugikan wilayah itu lebih A$30 juta (RM85 juta), menurut penyiar awam, ABC.

Winchester ditembak mati ketika keluar dari kenderaan berhampiran rumahnya di pinggir Canberra pada 1989. Tiada siapa dipertanggungjawabkan atas pembunuhan itu. -AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture