Suami isteri, anak kembar dibunuh kejam

SAN JUAN : Sepasang suami isteri dan anak kembar mereka maut dibunuh di dalam rumah sejurus selepas menyambut kedatangan Tahun Baharu 2020.

Edwin Ramos, 47, isterinya Dorothy Wickline, 40 dan anak kembar mereka yang berusia 9 tahun, Eric Ramos Wickline serta Jorge Ramos Wickline ditembak pada jam 3.50 pagi semalam, di pekan Trujillo Alto, selatan ibu negara.

Menurut pihak berkuasa, turut ditembak ialah anak remaja pasangan berkenaan, yang berusia 16 tahun, dan kini dirawat di Pusat Perubatan Rio Pedras kerana mengalami kecederaan di bahagian mulut, lengan dan kaki.

Polis percaya pembunuhan kejam berkenaan adalah balasan kepada laporan polis dibuat anak sulung mereka, Luis ‘Goldo Yaga’ Ramos Wickline, 23 selepas mendakwa cuba dibunuh oleh seseorang.

Menurut laporan, Luis cuba dibunuh seorang individu tidak dikenali tengah hari Isnin lalu di sebuah kompleks kediaman.

Beliau berjaya melarikan diri ke balai polis Trujillo Alto untuk meminta bantuan dan membuat laporan, sebelum ditahan atas kesalahan jenayah persekutuan, mencakupi kes curi kereta, serangan dan pemilikan senjata api.

Dia dijangka disoal siasat pihak berkuasa hari ini yang turut merancang untuk menyoal adiknya di dalam hospital.

Detektif Carlos Nazario dari Jabatan Polis Puerto Rico berkata, kesemua mangsa sebelum itu menyambut ketibaan Tahun Baharu bersama saudara mara masing-masing dan ditembak sebaik tiba di rumah.

Akhbar tempatan, Primera Hora melaporkan bahawa Ramos ditembak di balkoni manakala isterinya di ruang tamu rumah mereka.

Anak kembar pasangan berkenaan pula dibunuh ketika berada di dalam bilik tidur. – Agensi

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture