4 budak curi pacuan 4 roda, pandu sejauh 1,000 kilometer

Pacuan empat roda

Pacuan empat roda yang dipercayai dipandu secara bergilir-gilir oleh kumpulan kanak dari Rockhampton di Queensland ke Grafton di negeri New South Wales, Australia.

Sydney, Australia. – Empat kanak-kanak memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda curi sejauh 1,000 kilometer merentasi pedalaman Australia sebelum mereka diberkas polis, kata seorang pegawai semalam.

Polis berkata, seorang remaja lelaki berumur 14 tahun, dua budak lelaki berumur 13 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun memulakan perjalanan epik itu Sabtu lalu selepas mereka mengambil sejumlah wang tunai di dalam kenderaan milik keluarga mereka di bandar Rockhampton, negeri Queensland.

Salah seorang budak lelaki itu meninggalkan sekeping nota kepada keluarganya bagi memaklumkan rancangan tersebut.

Polis Queensland berkata, pacuan empat roda itu dikesan awal pagi kelmarin di bandar Banana, pedalaman Australia.

kanak-kanak berkenaan mencuri petrol sebelum bergerak ke arah selatan.

Kenderaan curi itu kemudian dijumpai malam kelmarin dekat bandar Grafton di negeri New South Wales (NSW) yang berjiran dengan Queensland, sekitar 11 jam pemanduan dari Rockhampton.

Polis NSW berkata, anggotanya terpaksa menggunakan sedikit kekerasan selepas kumpulan kanak-kanak tersebut enggan keluar dari kenderaan itu. “Mereka mengunci kereta dari dalam dan anggota polis terpaksa menggunakan baton untuk memecah tingkap kenderaan dan menangkap mereka,” kata Pemangku Inspektor Polis Daerah Coffs-Clarence, Darren Williams kepada pemberita.

Masih tidak jelas kanak-kanak yang mana memandu pacuan empat roda tersebut tetapi Williams berkata, besar kemungkinan mereka bertukar pemandu.

“Jarak perjalanan dari Rockhampton ke Grafton adalah jauh, melebihi 1,000 kilometer. Saya tidak boleh bayangkan hanya seorang yang memandu sejauh itu,” katanya.

Polis masih menyiasat beberapa kesalahan yang dilakukan semasa perjalanan tersebut, tambah Williams.

Semua kanak-kanak itu, katanya lagi, kini berada di bawah jagaan tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya..

Motif kejadian juga tidak diketahui tetapi salah seorang daripada mereka berasal dari Grafton. – AFP

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture