Ladang Florida hasilkan avokado gergasi

BERAT sebiji buah avokado gergasi adalah antara 453 gram hingga 1.3 kilogram.

Miami, Florida – Sebuah ladang yang berpangkalan di negeri Florida menghasilkan buah avokado gergasi, lapor akhbar New Zealand Herald.

Syarikat Miami Fruit yang menjual buah-buahan dan sayuran secara online berkongsi gambar buah avokado jenis long-neck itu di laman sosial Facebook.

Buah gergasi tersebut menerima sambutan hangat orang ramai.

“Petani-petani di Florida Selatan menanam puluhan varieti unik avokado yang tidak terdapat di tempat-tempat lain di Amerika Syarikat,” kata syarikat itu di Facebook.

Pengasas bersama Miami Fruit, Rane Roatta berkata, mereka sudah menjual buah avokado long-neck itu sejak beberapa tahun lalu.

Buah avokado long-neck boleh membesar sehingga mencapai berat antara 453 gram (g) hingga 1.3 kilogram (kg), manakala berat avokado biasa adalah sekitar 151g.

“Ia boleh didapati untuk tempahan awam pada musim hadapan,” kata Roatta dalam rancangan televisyen, Today sambil menambah, semua avokado long-neck untuk musim ini telah habis dijual.

Buah tersebut dijual pada harga sekitar AS$47 (RM196) untuk kotak kecil dan AS$197 (RM823) untuk kotak besar.

Sebuah kotak kecil berisi sebilangan buah avokado tersebut seberat 2.7kg, manakala berat avokado di dalam kotak besar pula mencecah 20kg. – Agensi

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture