Budak 12 tahun pandu trak selamat diri dari kebakaran di Australia

Lucas bersama pegawai polis selepas memandu untuk menyelamatkan diri dari kebakaran di Mogumber, Australia kelmarin. -Foto Reuters

SYDNEY: Seorang budak lelaki 12 tahun dari Australia dan anjingnya berjaya melarikan diri dari kebakaran yang memusnahkan rumah ladang keluarganya dengan memandu sebuah trak pikap untuk menyelamatkan diri.

Budak lelaki itu, Lucas Sturrock berada di rumah bersendirian kelmarin selepas bapa dan abangnya keluar untuk memadam kebakaran hutan di Mogumber, sejauh 128 kilometer di barat laut Perth, Barat Australia, apabila api menghampiri rumahnya.

Menyedari api marak dengan terlalu pantas, Sturrock segera mengambil anjing keluarganya dan memandu trak pikap milik abangnya untuk menyelamatkan diri, kata polis.

Pekerja kecemasan menemui Sturrock dan anjingnya dalam trak di tepi jalan, namun tidak cedera.

“Amat hebat dia mempunyai kemahiran memandu untuk keluar dari sana dan kami menjumpainya serta berjaya mengeluarkannya dari bahaya,” kata Sarjan polis, Michael Daley kepada Australian Broadcasting Corp (ABC).

Bapa Lucas, Ivan Sturrock berkata, anak lelakinya belajar memandu ketika usianya tujuh tahun.

“Kami mengajarnya memandu sejak dia berusia kira-kira tujuh tahun bimbang sesuatu seperti ini berlaku dan saya amat bangga dengannya kerana melakukan apa yang kami ajar,” kata Ivan kepada ABC.

Lucas adalah antara ribuan rakyat Australia yang terpaksa lari dari rumah di tengah krisis kebakaran belukar yang menyaksikan pihak berkuasa bergelut membendung ratusan kebakaran hutan.

Anggota bomba memadam kebakaran di Pergunungan Gospers, New South Wales, Australia. -Foto Reuters

Kebakaran itu meragut nyawa enam orang, memusnahkan lebih 680 rumah dan membakar 1.2 juta hektar belukar dengan keadaan dijangka semakin buruk minggu ini. -Reuters

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture