Thailand lancar klinik perubatan tradisional berasaskan kanabis

Anutin berucap pada majlis pembukaan klinik sepenuh masa pertama yang mengkhusus kepada perubatan tradisional dan alternatif berasaskan ganja di Bangkok, hari ini. – Foto Reuters

BANGKOK: Thailand hari ini membuka klinik sepenuh masa pertamanya yang mengkhusus kepada perubatan tradisional dan alternatif berasaskan ganja sebagai sebahagian langkah negara itu membangunkan industri berkenaan

“Ini klinik perintis, kerana kita tidak dapat menyediakan doktor mencukupi yang ada kepakaran mengenai ganja,” kata Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul kepada media ketika majlis pembukaannya di sini.

Beliau berkata, pesakit akan menerima rawatan secara percuma selama dua minggu pertama ini.

Anutin berkata, pihaknya merancang membuka 77 klinik di seluruh negara iaitu satu klinik bagi setiap wilayah.

Pesakit, Waraporn Boonsri, menitiskan cecair berasaskan ganja ketika pembukaan klinik perubatan tradisional berkenaan di Bangkok. – Foto Reuters

Thailand yang memiliki tradisi penggunaan ganja bagi melegakan kesakitan dan keletihan, meletakkan bahan itu sah untuk kegunaan perubatan serta penyelidikannya dilakukan pada 2017 untuk meningkatkan pendapatan pertanian.

Terdapat kira-kira 25 klinik kanabis ditempatkan di hospital umum di seluruh negara, namun berbeza dengan klinik perintis yang baru dilancarkan, yang hanya beroperasi beberapa hari seminggu berikutan kekurangan kakitangan khusus.

Pengeluaran, penanaman dan penjualan ganja hanya terhad kepada pengeluar berlesen tempatan untuk tempoh empat tahun ke depan bagi melindungi industri di negara itu.

Pada masa ini, hanya hospital dan kemudahan penyelidikan dibenar memohon pengeluaran ganja, namun kerajaan sedang mengkaji semula peraturan untuk membolehkan peniaga tempatan memohon permit.

Tahun lalu, Thailand menggugurkan ganja dan ekstrak daripada senarai narkotiknya dan mencadangkan draf undang-undang yang membolehkan setiap isi rumah menanam enam pokok ganja.

Minyak kanabis buatan Thailand. – Foto Reuters

Klinik perintis yang bertempat di Kementerian Kesihatan Awam itu, menjangkakan kehadiran pesakit antara 200 hingga 300 orang setiap hari.

Hampir 2,200 pesakit sudah mendaftar di klinik berkenaan sehingga Mac, kata seorang pegawai kesihatan.

“Saya bimbang pada mulanya, tetapi apabila saya kaji kesannya dan memutuskan ia lebih baik kerana ia semula jadi,” kata seorang pesakit, Waraporn Boonsri, 69. – Reuters

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture