Tindakan sultan terakhir Indonesia cetus kemarahan

Sultan terakhir di Indonesia, Sri Sultan Hamengku Buwono X.

YOGYAKARTA: Penduduk tempatan percaya, beberapa tindakan kontroversi sultan terakhir di Indonesia, Sri Sultan Hamengku Buwono X mengubah pantang larang membabitkan pewaris takhta mengakibatkan banyak bencana alam di wilayah itu.

Difahamkan, Sri Sultan yang tidak mempunyai waris lelaki cuba mengubah peraturan yang menetapkan pewaris takhta hanyalah lelaki dan berusaha menjadikannya neutral jantina.

Pada 30 April 2015, beliau mengisytiharkan takhta itu tidak terhad ke pada lelaki sahaja dan menghabiskan tempoh dua tahun memfailkan petisyen kepada Mahkamah Perlembagaan.

Dua tahun lalu, mahkamah membenarkan tuntutan Sri Sultan untuk memansuhkan satu klausa Undang-Undang Wilayah Khas Yogyakarta yang melarang wanita mewarisi takhta atas dasar diskriminasi.

Semua tindakan keluarga Sri Sultan yang juga gabenor wilayah dan penguasa Kesultanan Ngayogyakarta Hadiningrat itu melanggar tradisi sejak berkurun lalu dan menyebabkan kemarahan dan perpecahan di kalangan penduduk di sini.

“Ramai di Yogyakarta bertanya, bagaimana wanita menyeru Ratu Laut? Bagaimana wanita menggunakan kuasanya ke atas Sapu Jagat? Keadaan ini menjadikan dekri Sri Sultan sebagai mengejut dan kontroversi.

“Mereka percaya, jika Sri Sultan tidak boleh menjalankan tugas spiritual ini, bencana akan berlaku,” kata pakar budaya Jawa di Universiti Widya Mataram, Heru Kismoyo.

Menurut kepercayaan, Ratu Laut tinggal di Lautan Hindi dan restunya diperlukan untuk hasil tangkapan nelayan dan keselamatan mereka. Sapu Jagat pula adalah gergasi di dasar Gunung Merapi.

Menurut saluran Channel News Asia (CNA), penduduk percaya beberapa letusan Gunung Merapi, sejak tahun lalu dan dua gempa bumi magnitud 5.8 dan 5.1 Ogos lalu, sebagai petunjuk ‘semangat’ marah.

Kesultanan Yogyakarta mempunyai status khas sejak merdeka. Presiden pertama Indonesia, Sukarno membenarkan keluarga diraja itu mengekalkan kuasa sebagai penghargaan melawan Belanda.

Mereka dibenarkan untuk mengawal hartanah kesultanan terbabit, iaitu kawasan tanah luas di seluruh wilayah itu membabitkan 1.2 peratus daripada sejumlah 3,186 kilometer persegi keluasan Yogyakarta. – Agensi

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture