Doktor Mesir dibicara ekoran gadis khatan maut

 

KAHERAH: Pendakwa raya negara Mesir memutuskan untuk menahan semula dan membicarakan seorang doktor kerana menjalankan prosedur khatan terhadap seorang gadis berusia 12 tahun yang menyebabkannya meninggal dunia, kata pejabatnya semalam.

Prosedur dikenali Female Genital Mutilation (FMG) diharamkan di Mesir sejak tahun 2008, tetapi amalan ini terus berleluasa di negara Islam konservatif dengan ramai mempercayai ia mempromosikan kesucian wanita.

Pada Januari lalu, Nada Hassan Abdel Maqsood meninggal selepas menjalani FGM, mencetuskan kemarahan dalam talian dan media.

Bapanya memfailkan aduan polis yang membawa kepada penahanan doktor, tetapi awal bulan ini doktor itu dibebaskan dengan jaminan oleh mahkamah selepas mendakwa dia hanya menjalankan “pembedahan kosmetik”.

Tetapi menurut pejabat pendakwa raya, koroner yang melakukan bedah siasat ke atas tubuh gadis itu dan memutuskan bahawa dia meninggal dunia akibat kejutan dan kesakitan yang dikaitkan dengan FGM.

Pendakwa raya mengarahkan doktor, Abdel Fadeel Reshwan, dibicarakan atas kesalahan FGM yang membawa kepada kematian gadis berusia 12 tahun itu.

Ibu bapanya juga akan menghadapi perbicaraan kerana “mengambil bahagian dalam jenayah ini”, kata pejabat itu dalam satu kenyataan.

Sejak tahun 2016, doktor yang didapati bersalah melakukan FGM di Mesir boleh dijatuhi hukuman penjara lima hingga tujuh tahun.

Satu tinjauan pada tahun 2015 oleh agensi kanak-kanak UNICEF menunjukkan hampir 90 peratus wanita Mesir dan perempuan berusia antara 15 dan 49 telah menjalani prosedur FGM.

“Kami marah kerana kematian tidak masuk akal seperti itu masih berlaku pada tahun 2020,” kata UNICEF selepas kematian Nada.

“Kami berharap kematian Nada yang tragis itu memberi kesedaran mengenai perlunya melindungi gadis-gadis dari amalan yang berbahaya ini sebagai satu perkara yang mendesak,” katanya.

UNICEF menegaskan bahawa FGM adalah “pelanggaran hak asasi manusia dan adalah satu bentuk keganasan terhadap wanita dan perempuan”. – AFP

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture