Wanita Indonesia didapati bersalah kerana bawa anjing masuk masjid

 

FOTO wanita yang membawa anjing memasuki masjid di Bogor tular di media sosial.

JAKARTA: Seorang wanita Indonesia didakwa di mahkamah atas tuduhan menghina institusi keagamaan kerana membawa anjing memasuki masjid, dalam kes yang menjadi viral di republik itu.

Suzethe Margareth, 52, mencetuskan kemarahan di negara berpenduduk majoriti Islam terbesar di dunia itu, berikutan tersebar video menunjukkan dia di dalam sebuah masjid di Bogor, dekat Jakarta, dengan memakai kasut dan membiarkan anjingnya berkeliaran.

Anjing adalah haram dalam agama Islam manakala memakai kasut atau selipar dilarang sama sekali dalam masjid.

Mahkamah di Bogor memutuskan bahawa Margareth bersalah tetapi tidak menjatuhkan hukuman penjara kerana dia menghidap masalah mental ‘paranoid schizophrenia’, walaupun pihak pendakwa raya memohon hukuman penjara sembilan bulan.

Margareth, dalam keterangannya, berkata dia ke masjid berkenaan kerana ‘dikejar’ dan ‘mendengar suara dalam kepalanya’ mengatakan suaminya akan berkahwin di sana.

Peguamnya mengalu-alukan keputusan mahkamah itu, yang dibuat berdasarkan pertuturan dan tingkah laku tertuduh, tetapi wakil pihak masjid, Ruslan A Suhady, mengkritik pembelaan berasaskan masalah mental itu.

Sementara itu, anjing yang terbabit dalam kontroversi itu dilaporkan mati dilanggar kereta tidak lama selepas kejadian.

Ini adalah kes terbaru dalam rantaian kes penghinaan agama di Indonesia, yang mana kumpulan hak asasi sudah lama berkempen untuk menghapuskan undang-undang terbabit kerana mendakwa ia sering disalah guna bagi menyasarkan golongan minoriti agama.

Jika bersabit kesalahan, sesiapa yang menghina agama boleh dihukum penjara sehingga lima tahun. – AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture