China bina teleskop terbesar Asia untuk misi Marikh

 

 

China membina teleskop radio boleh alih terbesar di Asia. – Foto XINHUA

BEIJING: China membina teleskop radio boleh alih terbesar di Asia, dilengkapi antena dengan keratan rentas 70 meter dan berupaya menerima data dari Marikh.

Republik itu menjangkakan teleskop terbabit dapat dilancarkan pada tahun ini dan menyasarkan untuk melengkapkan pusing orbit, mendarat dan mengembara di Marikh menerusi misi yang digelar Tianwen-1.

Teleskop dilengkapi antena sebesar sembilan gelanggang bola keranjang itu dibina oleh Observatori Astronomi Kebangsaan, Akademi Sains China, di daerah Wuqing yang terletak di utara Tianjin.

Apabila siap, teleskop itu akan menjadi kemudahan teras untuk menerima data saintifik menyeluruh yang diperoleh dalam pengembaraan ke Marikh.

Timbalan Ketua Pereka misi Marikh pertama China, Li Chun Lai, berkata teleskop itu mampu menerima data sejauh 400 kilometer (km) dari bumi, namun isyarat yang akan diterima adalah sangat lemah.

“Justeru, keupayaan menerima dan menterjemahkan isyarat tersangat lemah dari Markih ini menjadi cabaran besar.

“Hanya dengan menggunakan teleskop antena besar yang berfungsi dengan kombinasi tiga lagi teleskop sedia ada di Beijing dan Kunming, dapat kami menzahirkan penerimaan data ini,” katanya.

China sebelum ini berjaya melancarkan empat ekspedisi ke bulan dan selesai mengorbit serta mendarat di bulan.

Bagaimanapun, jarak antara bulan dan bumi hanya sekitar 360,000 km hingga 400,000 km manakala jarak antara Marikh dengan Bumi adalah 56 juta km sehingga 400 juta km atau adalah 1,000 kali ganda berbanding bumi ke bulan. – A

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture