Jel 13 tahun untuk wanita yang kerat alat sulit kekasih

BARATTINI (tengah) ketika dihadapkan ke sebuah mahkamah di bandar Cordoba, Argentina.

CORDOBA, Argentina – Seorang akauntan wanita dihukum penjara 13 tahun selepas didapati bersalah memotong zakar kekasihnya menggunakan gunting laman ketika melakukan hubungan seks, lapor akhbar Daily Mail.

Brenda Barattini, 28, didapati bersalah di atas pertuduhan cuba membunuh seorang ahli muzik, Sergio Fernandez, 42, dalam satu perbicaraan di bandar Cordoba.

Gunting yang digunakan tertuduh untuk memotong zakar kekasihnya ditemui di lokasi kejadian.

Wanita itu mengaku dia merancang serangan itu pada 25 November 2017 yang menjadi tajuk utama akhbar-akhbar di seluruh dunia tetapi berkata, dia tidak berniat untuk membunuh mangsa.

Barattini berkata di mahkamah bahawa dia merancang komplot untuk mencederakan Fernandez selepas lelaki itu berkongsi rakaman seks dan gambar lucahnya bersama rakan-rakan selain mendakwa dirinya dilayan seperti ‘trofi’.

Barattini turut memberitahu panel juri terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita semasa perbicaraan: “Dia menjadikan saya sebagai hamba seks. Saya tidak berharga baginya.

“Dia menceroboh privasi, kehidupan dan karier saya. Semuanya sudah musnah,” katanya.

Sergio Fernandez memegang alat sulitnya selepas serangan itu. Darah boleh dilihat di bawah kaki dan botol air berada di sebelahnya di mana dia cuba untuk membersihkan lukanya

Fernandez diselamatkan oleh beberapa jiran yang terdengar jeritannya dan menghubungi polis. Kira-kira 90 peratus zakar mangsa terputus berserta salah satu testikelnya.

Barattini ditahan di penjara sejak serangan itu dan dijangka mengemukakan rayuan di mahkamah. – Agensi

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture