Jenama fesyen popular, Forever 21 isytihar muflis

GAMBAR yang dirakam pada 12 September lalu menunjukkan sebuah cawangan kedai Forever 21 di Manhattan, Amerika Syarikat.

LOS ANGELES, California. -Peruncit fesyen, Forever 21 memaklumkan bahawa ia memfailkan permohonan muflis secara sukarela kelmarin, jenama terbaharu di Amerika Syarikat (AS) yang melaksanakan penstrukturan semula selepas ramai pengguna beralih kepada pembelian online.

Langkah itu bakal me­nyaksikan rangkaian peruncit tersebut menutup sehingga 350 buah kedai di seluruh dunia, termasuk kira-kira 178 kedai dalam pasaran utamanya di AS, lapor akhbar The Wall Street Journal yang memetik kenyataan seorang jurucakap syarikat berkenaan.

“Pemfailan di bawah undang-undang Chapter 11 untuk perlindungan muflis itu adalah langkah tegas dan di­sengajakan bagi meletakkan kami pada landasan ke arah kejayaan kelak,” kata firma tersebut dalam satu kenya­taan akhbar.

Lebih dikenali sebagai muflis ‘penyusunan semula’, Chapter 11 menjamin ­Forever 21 mengekalkan kuasa dan hak milik ke atas semua asetnya sementara proses penstrukturan semula dilaksanakan.

Diasaskan di bandar ini pada 1984 oleh pasangan suami isteri dari Korea Selatan, Do Won dan Jin Sook Chang, Forever 21 muncul di merata tempat di pusat beli-belah seluruh AS dan menawarkan produk mirip jenama terkenal pada harga jauh lebih murah, khususnya kepada golongan remaja.

Bersaing dengan jenama lain seperti H&M dan Zara, rangkaian kedai itu melancarkan pengembangan operasi yang agresif bagi produk pakaian lelaki dan kasut ketika kemelesetan ekonomi pada 2008, seterusnya meningkatkan bilangan kedainya kepada 800 buah di seluruh dunia.

Bagaimanapun, penganalisis berpendapat syarikat itu gagal mengambil kira peningkatan jualan online, di sam­ping peralihan sentimen pembeli terhadap impak du­nia fesyen kepada alam sekitar serta kebimbangan tentang nasib pekerja di kilang-kilang di mana produk mereka dihasilkan. – AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture