Mangkuk tandas emas bernilai £5 juta dicuri dari istana England

SEBUAH mangkuk tandas diperbuat daripada emas tulen yang dilaporkan dicuri kelmarin.

LONDON – Sebuah mangkuk tandas dibuat daripada emas tulen 18 karat bernilai £5 juta (RM26 juta) telah dicuri dari Istana Blenheim di Oxfordshire, England pagi kelmarin, lapor akhbar Daily Mail.

Kejadian tersebut berlaku hanya dua hari selepas hasil rekaan pakar seni Itali, Maurizio Cattelan berkenaan dipasang sebagai sebahagian daripada pameran di istana kelahiran bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill itu.

Pelawat istana itu sebelum ini dibenarkan menggunakan mangkuk tandas tersebut tetapi dihadkan kepada tiga minit setiap kali, kebiasaannya untuk peluang mengambil gambar swafoto.

Polis Lembah Thames mengesahkan kejadian itu dan menahan seorang lelaki berusia 66 tahun berhubung kes kecurian tersebut.

“Kakitangan istana sedar serta-merta kehilangan mangkuk tandas itu dan polis tiba tidak lama kemudian. Kami mempunyai sistem keselamatan yang sangat canggih dan kejadian seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif istana berkenaan, Dominic Hare.

“Memang ada risiko tertentu setiap kali satu bahan seni bernilai tinggi dibuka kepada umum, tetapi risikonya berbaloi walaupun selepas kecurian tersebut,” tambahnya.

Mangkuk tandas yang dinamakan ‘America’ itu berfungsi sepenuhnya dan dicipta Cattelan pada tahun 2016 untuk Muzium Solomon R. Guggenheim di New York di mana lebih 100,000 orang beratur untuk menunggu peluang merakam gambarnya, sebelum dibawa ke England awal minggu lalu. – Agensi

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture