Tentera padam kebakaran Amazon

Bolsonaro berdepan bantahan masyarakat global, sekatan dagangan Eropah

PORTO VELHO, Brazil – Presiden Jair Bolsonaro kelmarin meluluskan satu dekri bagi membenarkan kerahan tentera Brazil bagi membantu memadamkan kebakaran di hutan hujan Amazon dan mengekang aktiviti jenayah di wilayah berkenaan.

Keputusan itu dibuat semasa peningkatan protes ekoran kebakaran, kawasan hijau yang digelar sebagai paru-paru dunia, di serata dunia.

Asap tebal menyelubungi ruang udara di kawasan hutan padat arah barat laut negeri Rondonia, dengan api kebakaran jelas kelihatan sejauh beberapa kilometer.

Kebakaran di hutan hujan terbesar dunia itu mencetuskan protes jalanan di seluruh dunia dan perang mulut antara Bolsonaro dan rakan sekutu Perancis, Presiden Emmanuel Macron.

Macron menggambarkan kebakaran hutan itu sebagai satu ‘krisis antarabangsa’.

Bolsonaro membidas Macron sebagai mempunyai satu ‘pemikiran penjajah’.

Angka terkini menunjukkan sebanyak 76,720 kebakaran hutan direkodkan di Brazil setakat tahun ini, jumlah kejadian ter­tinggi sejak 2013.

Lebih separuh kejadian kebakaran hutan berlaku di Amazon.

Sekumpulan pakar mendakwa kebakaran marak dengan cepat disebabkan oleh aktiviti pene­rokaan hutan bagi tujuan pertanian dan padang rumput semasa musim kemarau.

Kira-kira 700 kebakaran baharu berlaku antara Rabu dan Khamis lalu, kata Institut Kajian Angkasa Kebangsaan (INPE), menyumbang kepada pencemaran udara di bandar termasuk Sao Paulo.

Selepas satu mesyuarat krisis lewat malam bersama anggota Kabinet, Bolsonaro kelmarin mengeluarkan satu dekri membenarkan kerahan tentera untuk memadamkan kebakaran.

Beribu-ribu penunjuk pe­rasaan mara di Rio de Janeiro dan Sao Paulo, di tengah-tengah peningkatan tekanan daripada negara-negara Eropah.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menawarkan bantuan untuk memadamkan kebakaran.

Macron kelmarin menuduh Bolsonaro berbohong kepadanya berhubung pendirian Brazil terhadap perubahan iklim.

Perancis kini akan menyekat satu dagangan antara Kesatuan Eropah dan blok dagangan Amerika Selatan (Mercosur), yang termasuk Brazil, menurut pegawai di pejabat Presiden Perancis.

Ireland juga mengancam untuk menyekat perjanjian tersebut dan Finland pula menyatakan pihaknya akan mencadangkan negara-negara EU agar berhenti mengimport daging Brazil.

Bolsonaro menegaskan bahawa kebakaran itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghukum Brazil. – AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture