Bilionair lancar kempen antivape
Michael Bloomberg salur AS$160 juta banteras rokok elektronik

E-rokok telah wujud di AS sejak tahun 2006 dan kadang-kadang digunakan sebagai bantuan untuk berhenti merokok produk tembakau tradisional seperti rokok. (Shutterstock)

NEW YORK – Bilionair dan bekas Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg kelmarin mengumumkan kempen AS$160 juta (RM689 juta) bagi mengharamkan rokok elektronik atau vape di Amerika Syarikat (AS) susulan peningkatan mendadak kematian akibat penggunaannya.

Sekurang-kurangnya lima orang mati di AS baru-baru ini akibat penggunaan vape dalam satu wabak yang menyebabkan beratus-ratus lagi jatuh sakit akibat penyakit paru-paru sehingga doktor terpaksa menempatkan sebilangan remaja dalam koma.

“Ini adalah satu krisis kesihatan yang mendesak dan syarikat tembakau adalah dalangnya,” dakwanya.

Bloomberg juga adalah aktivis antitembakau yang pernah mengharamkan perbuatan me­rokok di bar dan restoran di New York semasa menjadi Datuk Bandar sekitar tahun 2000.

“Kami tahu taktik Big Tobacco (lima syarikat tembakau paling besar). Mereka menyasarkan kanak-kanak dan meletakkan mereka dalam situasi sangat berbahaya,” tambahnya dalam satu artikel ditulis bersama Presiden Kempen Kanak-Kanak Bebas Tembakau, Matt Myers yang diterbitkan akhbar The New York Times.

Bloomberg turut menyelar Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA) yang gagal bertindak dan menegaskan peruntukan disumbangnya itu akan dibelanjakan bagi membantu sekurang-kurangnya 20 buah bandar dan negeri mengharamkan semua jenis tembakau berperisa serta rokok elektronik.

Vape memasuki pasaran AS sejak tahun 2006 dan ada digunakan sebagai alat membantu perokok berhenti menghisap produk berasaskan tembakau.

Penggunaan vape dalam kalangan kanak-kanak mening­kat mendadak sejak beberapa tahun lalu, dengan sekitar 3.6 juta pelajar sekolah menengah menggunakan produk vape pada tahun 2018 iaitu peningkatan 1.5 juta pengguna berbanding tahun sebelumnya. – AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture