Arab Saudi buka pintu kepada pelancong asing

GAMBAR bertarikh 11 Februari lalu menunjukkan pemandangan sekitar kawasan pelancongan batuan berbentuk gajah di padang pasir Ula di, barat laut pekan al-Ula, Arab Saudi. – AFP

Riyadh, Arab Saudi mengumumkan kelmarin bahawa ia akan menawarkan visa pelancongan buat kali pertama sekali gus membuka pintu negara konservatif itu kepada pelancong asing sebagai sebahagian usaha untuk meluaskan sumber ekonomi dan tidak lagi bergantung kepada minyak.

Merancakkan industri pelancongan merupakan antara fokus utama program reformasi Visi 2030 oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman bagi mempersiapkan ekonomi Arab Saudi selepas era minyak.

Pengumuman itu menyusul hanya dua minggu selepas serangan ke atas infrastruktur minyak Arab Saudi dalam insiden yang menggemparkan pasaran minyak dunia dan me­ningkatkan kebimbangan konflik lebih besar tercetus di rantau tersebut.

“Membuka pintu Arab Saudi kepada pelancong antarabangsa adalah detik bersejarah untuk negara kami,” kata Pengerusi Lembaga Pengarah Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Arab Saudi, Ahmed al-Khateeb dalam satu kenyataan akhbar.

“Pelancong pasti terkejut dengan khazanah yang kami akan kongsikan dengan mereka termasuk lima Tapak Warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO), budaya tempatan yang meriah dan keindahan alam semula jadi yang memukau,” tambahnya.

Arab Saudi akan membuka permohonan untuk visa pelancong secara online kepada rakyat di 49 negara bermula hari ini, lapor rangkaian berita Bloomberg News yang memetik kenyataan Ahmed.

Ahmed turut berkata, negaranya akan melonggarkan peraturan ketat terhadap pakaian wanita asing, memboleh­kan mereka bergerak tanpa memakai jubah abaya yang diwajibkan kepada wanita tempatan.

Pelancong asing bagaimanapun masih perlu berpakaian sopan, tambah Ahmed tanpa memberi perincian lanjut.

Pemberian visa ke Arab Saudi sebelum ini terhad kepada pekerja asing, ahli keluarga mereka dan jemaah haji serta umrah. – AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture