Objek gergasi menuju ke Australia

SYDNEY – Sebuah objek gergasi terdiri daripada batu pumis terapung di tengah lautan dan menuju ke Australia, membawa bersama organisma marin yang menurut para saintis, dapat membantu memulihkan Terumbu Karang Besar, lapor portal berita NPR.

 

Sebilangan batu itu adalah sebesar bola keranjang. Batu-batu pumis itu membentuk sebuah lapisan gergasi seluas 150 kilometer persegi, hampir menyamai saiz ibu kota Amerika Syarikat (AS), Washington D.C.

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), lapisan pumis gergasi itu berasal daripada letusan gunung berapi dasar laut dekat negara kepulauan, Tonga.

Seorang pelayar, Shannon Lenz memuat naik klip video di laman YouTube bersama kapsyen:“Pada 9 Ogos 2019, kami belayar menyeberangi padang pumis selama enam hingga lapan jam dan kami tidak dapat melihat air laut.”

Gunung berapi menampilkan pelbagai fenomena dramatik untuk ‘mengumumkan’ kehadirannya, kata NASA, termasuk awan abu, tasik lahar dan kemunculan pulau di atas permukaan laut.

“Fenomena yang lebih jarang dilihat pula adalah rakit atau lapisan pumis. Pumis merupakan batu vulkanik yang dipenuhi lubang dan mudah terapung di permukaan laut,” demikian menurut NASA.

Dalam pada itu, Profesor Madya di Universiti Teknologi Queensland, Scott Bryan memberitahu Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) bahawa lapisan pumis itu terapung ke arah Australia dan akan sampai ke pantai negara itu dalam tempoh tujuh hingga 12 bulan lagi.

“Setiap pumis itu merupakan tempat tinggal dan kenderaan untuk organisma marin berpaut serta menumpang,” katanya. – Agensi

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture