Bela kucing, bukan aligator

aligator

ROBB bersama seekor aligator yang ditangkap di sebuah lagun di bandar raya Chicago, Illinois pada minggu lalu.

Chicago, Illinois – Seekor aligator yang tinggal di dalam sebuah lagun di bandar raya ini ditangkap kelmarin selepas reptilia tersebut menggemparkan warga kota selama hampir seminggu.

Dinamakan Chance the Snapper, aligator itu dipercayai merupakan haiwan peliharaan tetapi kemudian dibuang oleh pemiliknya.

“Aligator jantan ini memiliki panjang 1.6 meter dan kelihatan amat sihat,” kata Pengarah Eksekutif Jabatan Penjagaan dan Kawalan Haiwan Chicago, Kelley Gandurski.

Menurut agensi berita Reuters, pihak berkuasa bandar raya ini menggunakan khidmat pakar dari negeri Florida, Frank Robb yang mempunyai pengalaman 24 tahun memerangkap reptilia untuk menangkap aligator tersebut di Taman Lagun Humbolt, Bahagian Barat Chicago.

Sebelum ini, seorang sukarelawan gagal untuk menangkap reptilia itu.

Orang ramai membanjiri lagun tersebut untuk melihat kelibat Chance the Snapper.

Aligator biasanya hidup di tasik atau paya air tawar di kawasan panas di tenggara Amerika Syarikat dan bukan di utara negara itu yang beriklim sejuk.

Setakat ini, masih tidak jelas di mana aligator berusia antara lima hingga 10 tahun itu akan ditempatkan.

Dalam pada itu, Gandurski menggunakan peluang tersebut untuk memberi nasihat kepada orang ramai.

“Aligator bukanlah haiwan peliharaan yang baik. Lebih baik anda membela kucing atau anjing yang dipelihara di pusat-pusat perlindungan haiwan,” katanya. – Reuters

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture