Budak lelaki 8 tahun bertarung dengan singa gunung

Pike Carlson bermain dengan kakaknya ketika seekor singa gunung menyerangnya di halaman belakang rumahnya di Bailey, Colo. (KUSA)

BAILEY, Colorado – Seorang budak lelaki berumur lapan tahun menceritakan bagaimana dia melawan seekor singa gunung selepas binatang buas itu menggigit kepalanya dan menyeret mangsa di bawah sebatang pokok, lapor akhbar The Sun.

Pike Carlson cuba menikam mata singa gunung menggunakan ranting kayu sambil menjerit dalam insiden di sini, bulan lalu.

Budak lelaki itu sedang bermain bersama abangnya, Gage di laman belakang rumah mereka apabila singa gunung itu menerkam dan menggigit kepala Pike.

Gage yang ketakutan, berlari masuk ke dalam rumah dan memanggil bapa mereka Ron Carlson. Lelaki itu memberitahu saluran berita Amerika Syarikat, NBC: “Kepala anak saya berada di dalam mulut binatang buas itu, hati saya terbakar melihat singa gunung itu membaham kepalanya.”

“Naluri kebapaan muncul. Saya tidak peduli biarpun nyawa saya melayang. Walau apa pun berlaku pada diri ini, saya mesti melindungi anak saya,” tegasnya.

Ketika Ron bergegas untuk membantu anak lelakinya, Pike mengambil sebatang ranting.

“Ranting itu berada di perdu pokok dan dia cuba mencucuk mata singa itu dengannya,” tambah lelaki itu.

Singa itu akhirnya melepaskan Pike apabila melihat Ron menerpa ke arahnya.

“Apabila saya memegang anak saya, mukanya cedera dan berlumuran darah. Kulit kepalanya terbuka di beberapa tempat,” kata lelaki itu.

Keluarga berkenaan membawa Pike ke hospital, manakala dia terpaksa menjalani pembedahan dan menerima berpuluh-puluh jahitan.

Budak lelaki mungkin perlu menjalani pembedahan lanjut untuk memulihkan kelopak matanya yang luka teruk semasa serangan itu. – Agensi

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture