Empangan Britain dikhuatiri pecah

BEBERAPA jurutera dan anggota perkhidmatan kecemasan melihat beg pasir penampan yang digunakan untuk mengukuhkan struktur empangan Toddbrook di pekan Whaley Bridge, England semalam.

London. – Tambahan 55 isi rumah dipindahkan di pekan Whaley Bridge, Derbyshire susulan risiko sebuah empangan mungkin pecah, kata pasukan kecemasan semalam ketika mereka berusaha mengurangkan paras takungan air sebelum ribut melanda.

Kira-kira 1,500 orang te­lah dipindahkan sebelum ini dari pekan sama selepas sebahagian daripada dinding empangan yang menampung air Takungan Toddbrook di atas pekan tersebut runtuh Khamis lalu susulan hujan lebat.

Sebuah helikopter tentera telah digunakan untuk menghantar beg-beg pasir bagi menambat struktur tersebut sementara pasukan kecemasan mengepam keluar air tanpa henti dari takungan itu.

Paras air telah dikurangkan sebanyak satu pertiga sejak Khamis lalu, maklum Timbalan Ketua Bomba, Gavin Tomlinson kepada wartawan pagi semalam.

“Keutamaan kami tetap sama, untuk mengepam keluar sebanyak mungkin air dari dalam takungan tersebut bagi melindungi komuniti Whaley Bridge daripada risiko empangan itu pecah,” tegasnya.

“Sejumlah 22 pam telah digunakan tanpa henti dan kami telah berjaya mengeluarkan kira-kira 35 peratus air di dalam takungan itu. Kerja-kerja ini akan berterusan sehingga jurutera berwajib yakin paras air selamat dan risiko tersebut sudah berkurangan,” tambahnya.

Agensi cuaca di Pejabat Meteorologi Britain mengeluarkan amaran ribut petir petang semalam dan menjangkakan antara 30 hingga 40 milimeter hujan turun dalam tempoh hanya dua jam. – AFP

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture