Wanita masuk ke-kandang singa di zoo

SEORANG wanita dirakam menyergah seekor singa di Zoo Bronx, Bandar Raya New York pada Sabtu lalu.

Bandar Raya New York. – Aksi seorang wanita masuk ke dalam kandang singa di Zoo Bronx di sini menjadi tular selepas klip video perbuatan itu dimuat naik di laman Instagram, Sabtu lalu, lapor akhbar Washington Post.

Menerusi rakaman tersebut, dia dilihat memanjat pagar kandang singa tersebut ketika pengunjung lain menghalang tindakan di luar jangkaan itu.

“Awak tidak patut melakukannya,” kata seorang lelaki sebanyak tiga kali dalam klip video itu yang dimuat naik dipercayai oleh wanita terbabit.

Bagaimanapun, wanita itu tidak mengendahkan amaran lelaki berkenaan dan terus memanjat pagar berkenaan untuk bersemuka dengan singa tersebut.

Dia kemudiannya dilihat melambai tangannya ke arah binatang buas tersebut. Rakaman pendek lain daripada akaun sama dan akaun pengunjung lain pula menunjukkan dia menggoyang-goyangkan jarinya, menari dan menjerit: “Saya sayangkan kamu!”

“Saya benar-benar tidak takutkan apa-apa yang bernafas!” tulis wanita itu di laman Instagram berkenaan.

“Perbuatan ini adalah melanggar peraturan dan merupakan satu pencerobohan yang boleh mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa,” kata pengurusan zoo tersebut dalam satu kenyataan akhbar dan menambah, ia mempunyai polisi ‘toleransi sifar’ terhadap tindakan sedemikian.

Polis New York kini menyiasat insiden tersebut. Tiada tangkapan dilakukan sehingga Selasa lalu, demikian menurut kenyataan akhbar jabatan berkenaan. – Agensi

Awak juga mungkin ingin melihat...

Beri Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Required fields are marked *

error: Kandungan dilindungi!!
Hide picture